Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 July, 2009

Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 bermula hari ini




1.MERIAH...Orang ramai sedang membanjiri kawasan gerai jualan beraneka yang diadakan bersempena dengan sambutan Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 hari ini.

2.UNTUK ALBUM...Pegawai Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Sri Aman, Mohd Yusli Nasir (empat kanan) bersama SAO Zaidi Sarkawi (kiri beliau) merakamkan gambar di Pameran Pam Ski ketika berlangsungnya karnival hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (24 Julai) – Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 bermula secara rasminya pada hari ini bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman.

Karnival anjuran Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Sri Aman dengan kerjasama beberapa buah jabatan kerajaan di sini akan bermula hari ini sehingga ianya berakhir pada 26 Julai kelak.

Tinjauan awam Utusan Sarawak mendapati bahawa kawasan penganjuran Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 mula dibanjiri ribuan orang pengunjung bermula dari jam 8.30 pagi.
Rata-rata para pengunjung hadir bagi menyaksikan pelbagai acara menarik yang diadakan pada hari ini termasuk Pertandingan Memancing, Pameran oleh Jabatan Kerajaan, persembahan nyanyian, Demonstrasi Luncur Benak dan Pameran Pam Ski.

Disamping itu para pengunjung juga turut mengambil kesempatan untuk membeli-belah di gerai jualan beraneka yang dibuka di Jalan Main Bazaar, Jalan Market, Jalan Kapitan, Jalan Kelab dan Jalan Tengah dalam bandar ini.

Malahan para pengunjung juga dijangka akan memenuhi kawasan padang lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman bagi memeriahkan suasana Sukaneka dan Pertandingan Mewarna Bersama TV3 pada petang hari ini.

Bagaimanapun sambutan Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 dijangka lebih menarik pada 25 Julai apabila terdapat sebanyak 11 buah acara menarik yang bakal diadakan di kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman.

Antaranya ialah Pertandingan Polynemus Music Fest, Pertandingan Senaman Poco-Poco, saringan Pam Ski Karnival Ikan Bulu, Lumba Bot (enjin sangkut 15 kuasa kuda), Pertandingan Tarian Tradisi, Pertandingan Citra Rasa Ikan Bulu, Teknik Menangkap Ikan Bulu dan Pertandingan Akhir Ratu Ikan Bulu 2009.

Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman pada jam 8 malam hari ini.

Dijangka lebih 10,000 pengunjung akan membanjiri kawasan Tebingan Sungai Batang Lupar bagi menyaksikan karnival terbabit pada 25 dan 26 Julai ini berdasarkan kepada faktor cuti hari umum.

Tamat.

No comments:

Post a Comment