Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 July, 2009

Jangan sokong parti tak sehaluan - Masir

SRI AMAN, Jumaat (17 Julai) – Pihak parti pembangkang di kawasan Sri Aman nyata tidak sehaluan dari segi perjuangan politik mereka berdasarkan kepada pembabitan ‘si ayah dan si anak’ menerusi dua buah parti politik yang berbeza di bandar itu menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat.

Tanpa menyatakan nama dua individu berkenaan, si ayah menurut beliau telah bertindak mengetuai Parti KeAdilan Rakyat (PKR) manakala si anaknya pula bertindak menubuhkan cawangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di bandar Sri Aman ini sebelumnya.

“Pihak pembangkang di sini (Sri Aman) secara tidak langsung telah mendedahkan kelemahan mereka terhadap penduduk apabila si ayah dan si anak tidak berjuang di bawah satu parti politik yang sama.

“Perjuangan politik seumpama ini kurang meyakinkan kerana mereka tidak sehaluan dan tidak akan dapat bersatu untuk memajukan hidup penduduk di seluruh kawasan Sri Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2009 bertempat di Rumah Maja anak Bala, Kenyungan, Batu Lintang, Sri Aman lewat petang kelmarin.

Penduduk di kawasan ini sebaliknya menurut Masir harus terus menyakini komponen parti Barisan Nasional (BN) yang sentiasa memperjuangkan hala tuju politik yang sama di antara satu sama lain.

“Salah satu matlamat utama perjuangan politik oleh komponen parti BN di sini ialah bersama-sama mempertingkatkan taraf hidup penduduk tanpa mengira usia, latar belakang etnik dan agama.

“BN masih lagi merupakan sebuah parti yang kuat dan berpegang pada prinsip perjuangan ini. Justeru adalah lebih penduduk di kawasan Sri Aman untuk menyokong BN dan bukannya menyokong perjuangan politik oleh pihak pembangkang yang tidak sehaluan di antara satu sama lain,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Residen Sri Aman (Bahagian Pembangunan Sosial), Felicia Tan, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukkan bagi tahun 2010 bernilai RM3,000 kepada JKKK Rumah Maja manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Masir juga turut mengumumkan nilai jumlah peruntukkan yang sama untuk tahun 2010 kepada JKKK dan biro wanita rumah panjang berkenaan.

Tamat.




Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang mendakwa bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mendapat sambutan rakyat di Sri Aman apabila keluarga pemimpin itu sendiri tidak sehaluan dalam parti.

Menurutnya, pemimpin utama PKR di sini iaitu bekas Ahli Parlimen Sri Aman sebelumnya tidak sehaluan apabila anaknya sendiri memilih menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Bagaimanapun Jabu tidak mendedahkan nama bapa dan anak yang dimaksud olehnya itu.

Namun perkembangan terkini dalam senario politik Sri Aman amat menarik apabila bekas Ahli Parlimen Sri Aman Encik Jimmy Donald menjadi Ketua Bahagian PKR Sri Aman manakala anaknya iaitu Leon Jemat mempengerusikan Protem DAP Bahagian Sri Aman.

“Mereka berdua dalam sebuah keluarga bapa dan anak tidak percaya sama sendiri dalam memperjuang hak rakyat. Jadi bagaiamanakah mereka mahu meraih sokongan daripada rakyat di sini (Sri Aman)?” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Infrastruktur berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Sri Aman 2009 bertempat di bilik persidangan MDSA hari ini.

Jabu meluahkan rasa kecewa terhadap sikap bekas Ahli Parlimen itu apabila tidak memperdulikan sokongan rakyat semasa menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selama empat penggal sebelum ini.

Bekas ahli parlimen itu kata Jabu seharusnya bekerjasama dengan Menteri Muda Kemajuan Tanah DatukFrancis Harden Holis dan beberapa orang wakil Rakyat di sini untuk memajukan kawasan Sri Aman bukannya mengajak rakyat menentang BN.

“Ini tidak. Beliau sebaliknya membawa PKR masuk ke sini (Sri Aman) dengan menghasut rakyat menentang BN serta memburukkan nama parti kerajaan ini di hadapan rakyat.

“Konon dakwaan beliau kepada rakyat ialah bahawasanya BN tidak melayaninya dengan begitu baik sehingga menyebabkan beliau menyertai parti Pakatan KeAdilan Rakyat (PKR),” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Walikota Sri Aman, Piau anak Inggot, Setiausaha MDSA, Jack Aman Luat, para pegawai kerajaan dan ahli MDSA itu sendiri.

Jabu menerusi majlis berkenaan telah menyaksikan upacara angkat sumpah oleh 25 orang kanselor yang dipilih untuk meneraju MDSA bagi tahun ini. 16 daripada 25 kanselor ini adalah merupakan muka lama manakala sembilan orang lagi adalah merupakan muka baru.

Tamat.


No comments:

Post a Comment