Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 July, 2009

Agrobank di buka di Pusa, Betong


Caption: UNTUK ALBUM...Rohani (tengah) bersama Romie (kiri) dan Mohammad Che (kanan) bergambar dihadapan kaunter urusan Agrobank cawangan Pusa yang dirasmikan hari ini.

PUSA, Jumaat (31 Julai) – Agrobank telah melebarkan rangkaian cawangannya di Sarawak dengan pembukaan cawangan ke-16 bank tersebut di Pekan Pusa dalam Bahagian Betong hari ini.

Terletak di bangunan Sabior Land District, Pusa, Agrobank yang mula beroperasi dengan empat orang kakitangannya kini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim hari ini.

Rohani ketika berucap merasmikan majlis berkenaan menjelaskan bahawa beliau telah mengemukakan permohonan berhubung penubuhan tersebut di Pekan Pusa semenjak dua tahun lalu.

Ianya menurut beliau ekoran daripada perkembangan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perniagaan di kalangan penduduk dalam kawasan Pusa semenjak kebelakangan ini.

“Lagipun dengan adanya pembukaan cawangan terbaru Agrobank di Pusa, penduduk di kawasan ini tidak perlu lagi pergi ke Agrobank yang terletak di Sarikei, Saratok atau pun Sri Aman bagi tujuan urusan kewangan masing-masing.

“Justeru saya mahu penduduk di kawasan Pusa terutamanya golongan petani dan nelayan memanfaatkan sepenuhnya khidmat yang akan disediakan oleh pihak Agrobank selepas ini,” menurut beliau.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar kemudiannya menyempurnakan majlis penyampaian wang Zakat Agrobank yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM16,000 kepada 100 orang penduduk, dua buah sekolah, dua buah surau dan sebuah masjid di Pusa.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Residen Bahagian Betong, Romie Sigan Daniel, Ketua Pegawai Sokongan Korporat Agrobank, Mohammad Che Taib, Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Betong, Wilson Engkabang, para penerima zakat dan kakitangan Agrobank dari beberapa buah cawangan dalam negeri ini.

Agrobank sehingga kini mempunyai sebanyak 55 buah Cawangan Pinjaman, 66 buah Cawangan Deposit, 34 buah Cawangan Kecil (Kiosk) serta 13 buah Sudut Tetap / Agro Corner yang menjadikan jumlah keseluruhan rangkaian adalah 166 buah di seluruh Malaysia.

Pihak Agrobank juga telah membuka sebanyak enam buah cawangan baru dengan memperuntukkan sejumlah RM25 juta bagi tujuan pengubahsuaian, pemindahan dan pembukaan premis baru bagi tahun ini.
Tamat.

No comments:

Post a Comment