Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 April, 2009

Pembangunan is everyday not during election only - Mussen


LUBOK ANTU, Khamis (2 April) - Calon Barisan Nasional (BN), Malcom Mussen Lamoh menegaskan bahawa kerajaan tetap melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat sampai bila-bila dan bukan hanya pada masa pilihan raya sahaja.

Beliau berkata, tidak semestinya projek pembangunan itu dilaksanakan apabila menjelang pilihan raya kerana kerajaan telah mempunyai perancangan untuk tujuan itu pada masa depan.

Menurutnya, beliau telah mendapat maklumbalas para penduduk tempatan di kawasan Batang Air terutamanya di hulu-hulu sungai Engkari, Delok dan Batang Air mengenai projek pembangunan yang diperlukan oleh mereka.

``Rata-rata penduduk mahu kerajaan melaksanakan pembangunan di kawasan rumah panjang dan mereka percaya hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang mampu melakukannya.

``Dengan maklum balas tersebut, saya berusaha membawa projek pembangunan ke kawasan Batang Air ini dan ia bukan hanya pada waktu pilihan raya sahaja,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja ditemui pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Perasmian Program Gotong Royong Membersihkan Sungai bersama para penduduk dari 10 buah rumah panjang di sini serta upacara `miring' di Hulu Sungai Jengi, Nanga Delok, Ulu Engkari, Batang Ai, Lubok Antu hari ini.

Mussen berkata, selepas dua dan tiga hari berkempen, beliau telah menerima maklum balas penduduk yang mahu projek pembangunan seperti klinik, sekolah, jalan raya, bekalan air serta elektrik dilaksanakan di penempatan mereka.

Menerusi kempen itu juga, katanya, beliau mendapati para penduduk boleh menerimanya sebagai calon bagi mewakili penduduk di situ dan membawa perubahan kepada kehidupan seharian mereka.

``Setelah saya berkempen ke penempatan di pedalaman khususnya di hulu-hulu sungai, maklum balas yang diterima begitu baik dan percaya mereka akan menyokong BN pada pilihan raya kecil ini nanti,'' katanya.

Dalam pada itu, Mussen berkata, beliau berusaha meningkatkan keperluan serta peralatan yang terdapat di klinik di kawasan Batang Air supaya mereka tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke Sri Aman mendapatkan rawatan.

Menurutnya, masalah bangunan sekolah pula, Kementerian Pelajaran sudah mempunyai perancangan untuk membaik pulih bangunan yang usang serta meningkatkan kemudahan infrastrukturnya.

``Apa yang penting, selama saya berkempen di kawasan rumah-rumah panjang di sini, saya telah melihat minda para penduduk mulai berubah dan mungkin selama ini mereka tidak berpeluang bersama pemimpin,'' ujarnya yang memberitahu beliau akan sentiasa mengunjungi penduduk bagi mengetahui masalah mereka selepas ini.

Majlis Perasmian Program Gotong Royong Membersihkan Sungai bersama para penduduk dari 10 buah rumah panjang di sini serta upacara `miring' di Hulu Sungai Jengi, Ulu Engkari, Batang Ai, Lubok Antu hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.


tamat.

No comments:

Post a Comment