Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 April, 2009

Dakwaan Chong berbaur perkauman - Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Rabu (22 April) – Timbalan Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Francis Harden anak Hollis mendakwa Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berniat untuk melemahkan sokongan kaum Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Terdahulu Chong menerusi komen yang disiarkan dalam laman web sarawakupdate.com baru-baru ini mendakwa bahawa kaum Cina mula kehilangan kuasa untuk meneraju majlis kerajaan tempatan berhubung isu pengambilalihan jawatan pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) oleh Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) daripada SUPP sebelum ini.

Setiausaha Agung, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu turut mendakwa bahawa Majlis Perbandaran Padawan yang kini dipengerusikan oleh ADUN Batu Kawa, Tan Joo Phoi akan dikuasai oleh parti kaum Dayak dalam tempoh 10 tahun akan datang berhubung khabar angin mengenai persempadan semula kawasan tadbir oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Dewan Bandaraya KuchingUtara sebelum ini.

“Dakwaan Chong itu bersifat perkauman. Itu strategi politik beliau untuk melemahkan sokongan orang Cina terhadap BN khususnya SUPP di negeri ini,” kata Menteri Muda Kemajuan Tanah dan ADUN Simanggang itu ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Katanya, keputusan untuk membahagikan kuasa dalam majlis kerajaan tempatan sebelum ini dibuat atas semangat kerjasama dalam komponen parti BN dan tidak sepertimana yang didakwa oleh Chong sebelum ini.

“Lagipun SPDP adalah sebuah parti berbilang kaum di negeri ini. Dengan kata lain ahli kaum Cina dalam SPDP juga mungkin berpeluang untuk menjadi pengerusi SRDC dan tidak semestinya ahli kaum Dayak sahaja.

“Apa yang ingin saya katakan di sini ialah setiap komponen parti BN diberikan peluang untuk meneraju majlis kerajaan tempatan di negeri ini dan ianya bukan bermaksud orang Cina hilang kuasa terhadap kuasa teraju mereka dalam majlis terbabit,” katanya sambil menambah Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga diberi peluang untuk meneraju Majlis Daerah Kapit.

Justeru Harden berharap agar penduduk kaum Cina khususnya di Kuching tidak mudah terpedaya dengan helah politik yang sengaja ditimbulkan oleh Chong demi melemahkan sokongan mereka terhadap BN selepas ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment