Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 April, 2009

Aminah pembuat keropok berjaya dari Meludam

Caption: MENYELERAKAN...Aminah kelihatan sedang sibuk membuat keropok Ikan, Udang dan Lekor di dalam rumah dengan menggunakan mesin hasil sumbangan JPS untuk dijual di warung persendirian miliknya. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Isnin (20 April) – Bidang pembuatan keropok mungkin dianggap biasa dikalangan penduduk kita di sini namun jika diteliti tidak kesemua mereka bijak mengintai peluang peningkatan ekonomi yang mampu mereka diperolehi menerusi bidang terbabit.

Bagi Aminah bin Bohari, 42, dari Kampung Hulu, Meludam dalam Bahagian Betong, kerja pembuatan keropok dianggap sebagai sebuah bidang yang mampu menjana pendapatan seisi keluarga beliau walaupun bidang itu dianggap biasa selama ini.

Ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini, ibu kepada enam orang anak ini telah mula melibatkan diri dalam bidang pembuatan Keropok Ikan Kering, Lekor dan Udang secara tradisional bermula dari tahun 2005 dahulu.

“Suami saya, Sidek bin Nen, 46, adalah merupakan seorang nelayan sepenuh masa. Atas sebab ini ada baiknya saya melibatkan diri dalam bidang pembuatan keropok demi mempertingkatkan status ekonomi kami sekeluarga,” katanya sambil menambah kesemua keropok terbabit dijual kepada penduduk di warung milik beliau di hadapan rumah keluarganya sendiri.

Kata lagi Aminah lagi beliau kemudiannya menghadiri kursus pembuatan keropok kering dan lekor yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Perikanan Sarawak (JPS) selama seminggu pada tahun 2007 demi mempertingkatkan teknik pembuatan keropoknya.

Tuah menyebelahi dirinya apabila pihak JPS menyumbangkan mesin pengadun keropok, pengisar ikan, pemotong keropok, alat pembungkus keropok, peti ais dan alat penimbang berat kepada beliau sebaik sahaja selesai menghadiri kursus terbabit.

“Dengan adanya mesin yang disumbangkan oleh JPS, saya kini tidak perlu lagi menggunakan teknik pembuatan keropok secara tradisional kerana mesin ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan mutu dan kualiti keropok yang dihasilkan oleh saya.

“Apa yang penting bagi saya untuk meneruskan kerja pembuatan keropok ini ialah mendapatkan bekalan bahan mentah (ikan dan udang) daripada suami saya sendiri atau membelinya daripada pemborong berdekatan,” menurut beliau.

Memandangkan keropok Ikan Kering, Lekor dan Udang hasil buatannya kini kian mendapat sambutan orang ramai, Aminah berhasrat untuk melabelkan produk keropoknya sendiri disamping mempertingkat kualiti pembungkusannya di masa akan datang.

“Syukur Alhamdullilah Ikan Kering, Lekor dan Udang mula mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk tempatan. Produk saya ini juga turut ditempah oleh lain-lain peniaga yang mahu memasarkan produk ini kepada para pelanggan,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment