( berita ini adalah hasil sumbangan daripada Sopi Samaile atau Jon dari Utusan Malaysia cawangan Kuching)
LUBOK ANTU, Khamis (2 April) - Sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, para media boleh dikatakan berada di segenap ceruk pedalaman di kawasan Lubok Antu.
Pelbagai cara dan pengangkutan yang digunakan oleh para media untuk mengikuti kempen calon-calon sama ada melalui jalan berbatu kerikil, pengangkutan air dan tidak kurangnya mendapat peluang menaiki helikopter.
Ini kerana, kebanyakan kawasan penempatan di Lubok Antu terletak jauh di pedalaman dan hulu-hulu sungai seperti Sungai Batang Air, Sungai Delok dan Sungai Engkari.
Pada hari ini pula, para media bertumpu di hulu Sungai Nanga Jengin bagi membuat liputan Program Gotong Royong membersihkan sungai bersama para penduduk dari 10 buah rumah panjang upacara `miring'.
Program tersebut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan calon Barisan Nasional (BN), Malcom Mussen Lamoh, 49.
Upacara miring yang diketuai oleh Tuai Rumah, Gu Mang itu diadakan bertujuan memberi kesejahteraan kepada penduduk di rumah-rumah panjang di kawasan terbabit di samping memberi doa selamat kepada Mussen sebagai bakal calon di Batang Air.
Jabu yang menyedari kehadiran para media berasa kagum dengan semangat cekal mereka yang sanggup datang ke hulu sungai tersebut dengan menggunakan bot panjang yang memakan masa kira-kira 2 jam dari jeti Hidro Batang Air di sini.
Disebabkan itu, Jabu ingin merakamkan penghargaan kepada para media dengan memberi penghormatan kepada wartawan dan jurugambar yang membuat liputan untuk melepaskan lebih 10,000 anak ikan ke hulu sungai terbabit.
Pada masa yang sama, Jabu telah menamakan ikan tersebut sebagai `Ikan Media' sebagai menghargai wartawan dan jurugambar dan mahu para penduduk akan terus mengingati nama ikan itu selepas ini. habis
No comments:
Post a Comment