Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 April, 2009

Orang Dayak mesti berani usaha pertanian komersial kata Mong


Mugshot: MONG ANAK DAGANG

SRI AMAN, Isnin (27 April) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Begunan, Mong Dagang menasihatkan golongan Dayak terutamanya kaum Iban yang tinggal di rumah panjang agar berani dan penuh yakin mengusahakan bidang pertanian dan ternakan haiwan komersil.

Menurut beliau, masalah kurang yakin pada diri telah dikenalpasti sebagai faktor yang menyebabkan golongan Dayak gagal mengusahakan bidang pertanian dan ternakan komersil di kawasan masing-masing.

“Lagipun mereka terlalu bergantung kepada orang lain untuk mengusahakan bidang pertanian serta ternakan komersial masing-masing...ini secara tidak langsung menyebabkan mereka kurang mahu berdikari,” katanya.

Mong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Penubuhan Koperasi Sungai Tenggang Sri Aman Berhad di Balai Raya, Rumah Lanchum, Sungai Tenggang, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu pembabitan orang Dayak dalam bidang terbabit membolehkan mereka mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga dan kawasan penempatan masing-masing dari masa ke semasa.

Ianya sekaligus kata Mong dapat membuka minda orang Dayak yang lain untuk menjejak langkah mereka yang telah berjaya menceburi bidang pertanian serta ternakan haiwan komersial sebelum itu.

“Paling penting di sini ialah kita dapat mengubah pemikiran orang Dayak untuk lebih maju dalam bidang ekonomi disamping mengusahakan bidang pertanian jenis sara diri,” katanya.

Majlis ini adalah merupakan hasil kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lanchum berkenaan.

Dalam majlis itu Mong juga turut melawat Tapak Ternakan Ikan Keli yang diusahakan oleh penduduk-penduduk rumah panjang Lenchum, Sungai Tenggang semenjak bulan Disember tahun lepas dan juga merupakan projek ikan keli yang terbesar di Sarawak.

Ia dijangka akan mengeluarkan hasil dan sekaligus menambahkan pendapatan lumayan kepada para perserta pada awal bulan Mei tahun ini.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Pengarah II SKM Encik Liew dan Encik Zaini Haji Asmuni dari Mega Techonolgi Enterprise yang berpengkalan di Melaka yang mahir dalam menternak ikan keli

Tamat…

No comments:

Post a Comment