Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 April, 2009

Kisah disebalik pilihan raya kecil DUN Batang Ai - Perempuan lahirkan anak masa berumur 6 tahun!

LUBOK ANTU, Selasa – Mungkin tidak masuk akal apabila kita mendengar seorang kanak-kanak berusia enam boleh melahirkan anak.

Namun itulah perkara yang sememangnya terjadi terhadap seorang pengundi berdaftar yang merupakan seorang ibu dari Rumah Panjang Tinting Lalang, Lubok Antu yang telah melahirkan anak ketika beliau berusia enam tahun.

Reni anak Tugik, 83, yang lahir pada 7 Disember 1926 dikatakan melahirkan anak pada usia enam tahun kerana tarikh lahir anaknya iaitu Kanching Jalong, 77, adalah pada 1 Disember 1932.

Jika dikira secara matematik, Reni yang masih menggunakan kad pengenalan lama hanya berusia enam tahun sahaja sebaik mencecah tahun 1932.

Bagaimanapun, sebenarnya tarikh pada kad pengenalan kedua-dua beranak itu bukan tarikh lahir sebenar mereka tetapi hanya anggaran tarikh ketika membuat kad pengenalan.

Begitu juga yang terjadi kepada suami Kanching iaitu Tigang Kibong, 84, yang mempunyai tarikh lahir pada 1 Disember 1925, lebih tua setahun daripada ibu mertuanya.

Kanching yang ditemui pemberita memberitahu, dia sebenarnya tidak mengetahui tarikh tepat kelahirannya kerana ia tidak dicatitkan pada zaman dahulu sehingga sewaktu membuat kad pengenalan.

``Jadi, sewaktu membuat kad pengenalan, tarikh lahir dan tahun itu cuma dibuat berdasarkan anggaran sahaja kerana sedia maklum orang zaman dahulu tidak begitu mengingati tarikh sama ada sewaktu mereka kahwin atau melahirkan anak.

``Begitu juga dengan ibu saya yang juga tidak mengingati bila tarikh dia berkahwin dan bila dia melahirkan saya,'' katanya yang satu-satunya anak Reni di sini hari ini.

Kanching berkata, ibunya dipercayai mempunyai umur yang jauh lebih tua berbanding dengan usia yang ada pada kad pengenalannya, namun kesihatan dan tenaganya masih memuaskan ketika ini.

Kata Kanching, ibunya itu masih mempunyai selera makan yang baik malah makanan kegemarannya adalah bahagian dada ayam.

``Bagaimanapun, ibu tidak lagi mampu berjalan, kurang pendengaran serta tidak jelas penglihatan disebabkan sudah terlalu uzur dan dia kini banyak menghabiskan masa di ruang tidurnya di rumah ini,'' ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia dan ibunya mengetahui bahawa akan dilangsungkan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air pada 7 April ini, Kanching memberitahu, mereka telah dimaklumkan mengenainya oleh jiran-jiran di rumah panjang terbabit.

Menurutnya, jika dia dan ibunya sihat ketika itu, mereka akan berusaha datang ke pusat pengundian untuk membuang undi.

``Kalau sihat dan ada pihak yang membantu kami untuk ke sana, saya dan ibu akan datang mengundi malah berharap akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) yang telah lama sebati dengan kami selama ini,'' katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment