Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 April, 2009

Ikan Tapah panjang 3 kaki ditangkap di Pantu

SRI AMAN, Isnin (13 April) – Seorang penduduk dari kawasan daerah kecil Pantu, Sri Aman telah berhasil menangkap seekor ikan Tapah sepanjang tiga kaki dengan berat menjangkau 39 kilogram di kawasan Engkeranji, Sungai Pantu pada hari Sabtu lalu.

Ikan Tapah sepanjang tiga kaki berkenaan tewas setelah memasuki sejenis perangkap yang digelar oleh orang Iban sebagai ‘Abau’ atau jala gergasi yang dipasang oleh penduduk terbabit sekitar jam 8 pagi.

“Saya sendiri menyaksikan kejadian berkenaan ketika sedang memancing ikan di kawasan Engkeranji, Sungai Pantu terbabit bersama sepupu saya iaitu Terliang pada waktu itu,” kata Mura anak Liben dari Kampung Selantik Ili, Pantu ketika memberitahu perkara terbabit kepada Utusan Sarawak hari ini.

Mura tidak pernah menyaksikan ikan Tapah bersaiz tiga kaki sebelum ini dan menyifatkan bahawa penangkapan yang dibuat oleh penduduk berkenaan sebagai langkah kanan pada hari tersebut.

“Saya menjangkakan bahawa penduduk berkenaan mungkin akan menyejukkan dahulu ikan Tapah gergasi tersebut untuk dijual atau pun dipamerkan pada sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 dalam bulan ini nanti.

“Bagaimanapun jangkaan saya meleset. Ikan terbabit terus dijual kepada seorang peniaga di Pekan Pantu itu dengan harga tertentu yang sudah pastinya memberikan keuntungan lumayan terhadap penduduk itu sendiri,” katanya.

Engkeranji, yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari kawasan Pengkalan, Pekan Pantu mula menjadi lokasi tumpuan para kaki pancing yang lain setelah berita mengenai penangkapan ikan Tapah gergasi mulai tersebar semalam.

Ianya secara tidak langsung bakal memeriahkan lagi suasana sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 yang buat julungkalinya akan dianjurkan di kawasan pekan berkenaan bermula dari 24 hingga 26 April ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment