Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 April, 2009

Majikan berkelayakan dari Bahagian Sri Aman dan Betong perlu daftar diri dengan PERKESO sebelum 15 Mei ini - Shabri

SRI AMAN, Selasa (14 April) – Majikan bagi semua jenis perusahaan dari Bahagian Sri Aman dan Betong diwajibkan untuk mendaftarkan syarikat dan pekerja masing-masing ke Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di No.4D, Jalan Sabu dalam bandar Sri Aman sebelum 15 Mei ini.

Pengurus PERKESO Sri Aman, Shabri Haji Wahab berkata majikan yang wajib mendaftar ialah majikan (perusahaan) yang menggajikan walaupun seorang pekerja atau lebih tanpa mengambilkira sama ada pekerja itu bekerja sementara atau tetap dan bergaji harian atau bulanan dan harus didaftarkan dalam tempoh 30 hari selepas dia diambil bekerja.

“Misi PERKESO ditubuhkan adalah untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja dan tanggungan mereka menerusi skim-skim insuran keselamatan sosial dan kesihatan pekerja demi mempertingkatkan kesejahteraan mereka.

“Atas sebab ini saya merayu semua majikan yang layak untuk mengambil Borang Pendaftaran Majikan (Borang 1) dan Borang Pendaftaran Pekerja (Borang 2) dan seterusnya mendaftarkan majikan dan pekerja masing-masing dengan segera sebelum 15 Mei ini,” katanya.

Kegagalan majikan berbuat demikian kata beliau boleh menyebabkan mereka dikenakan kompoun bernilai RM500 dan RM300 bagi setiap pekerja yang tidak didaftarkan sebelum tarikh berkenaan.

Majikan yang ingkar atau degil kata Shabri pula boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Walaubagaimanapun Pejabat PERKESO Sri Aman telah mengatur program pengesanan majikan berkelayakan yang belum berdaftar dari pintu ke pintu ke seluruh Bahagian Sri Aman dan Betong selepas 15 Mei ini.

“Jika terdapat majikan yang layak tetapi masih belum berdaftar tanpa alasan yang munasabah maka pihak majikan berkenaan boleh dikenakan tindakan berupa kompoun berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Justeru beliau mengalu-alukan pekerja atau masyarakat untuk membuat aduan sekiranya terdapat majikan (perusahaan) di tempat kerja mereka yang tidak berdaftar terhadap PERKESO dengan segera selepas ini.

“Mereka (pekerja atau masyarakat) harus membawa bukti atau dokumen yang akan membolehkan pihak kita untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak majikan terbabit atas kegagalan berbuat demikian,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment