Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 April, 2009

SMK Rosli Dhoby juara debat ala parlimen 2009

Caption: TAHNIAH...Ellen juara Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman semalam. Turut kelihatan ialah Pegawai Pelajaran Gabungan Sri Aman, Walter Lamat Kiyai (kanan beliau) dan naib pengerusi majlis berkenaan, Haji Mohd Lela Haji Alamsiah.

SRI AMAN, Jumaat (17 April) – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sibu yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby muncul juara Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

SMK Rosli Dhoby yang dibarisi oleh Fiona Maurice, Marcos Pope, Ainina Diana, Lizza Yusuf dan Hamizah muncul juara menerusi bahas berjudul Kestabilan Politik Peneraju Utama Kestabilan Ekonomi dan Sosial Negara sekaligus menewaskan PPD Bintulu yang diwakilili oleh SMK Bandar Bintulu pada pertandingan akhir tersebut.

Dengan memegang peranan sebagai pihak pembangkang menerusi pertandingan ini, SMK Rosli Dhoby berhasil membawa pulang sebuah piala kejuaraan, piala iringan serta sijil untuk setiap seorang.

Hadiah kepada para pasukan juara hingga pemenang ketiga telah disampaikan oleh Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Ellen @ Manium Engang yang sekaligus merasmikan majlis penangguhan pertandingan tersebut.

Terdahulu sejumlah 10 buah pasukan PPD bagi setiap bahagian dalam negeri ini telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman semenjak 15 April lalu.

10 buah pasukan terbabit adalah PPD Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Kapit. PPD Limbang bagaimanapun tidak menghantar pasukan mereka pada pertandingan tersebut.

Pada peringkat separuh akhir pertandingan tersebut, pasukan PPD Sibu yang diwakili oleh SMK Rosli Dhoby telah berjaya menyingkirkan saingan SMK Wira Penrissen dari PPD Samarahan untuk mara ke peringkat akhir manakala PPD Bintulu menerusi SMK Bandar Bintulu pula menyingkirkan saingan SMK Bahasa Malaysia dari PPD Betong.

Pasukan tuan rumah iaitu SMK Sri Aman yang mewakili PPD Sri Aman bagaimanapun tewas dalam saingan peringkat awal Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak itu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment