Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 April, 2009

Skim Rumah Mesra Rakyat untuk keluarga Bakri

Caption: BINCANG...Simoi (kiri sekali) sedang mendengar penjelasan dari mangsa, Bakri (kanan sekali) ketika memantau tapak kebakaran rumah mangsa di sini semalam.

SRI AMAN, Khamis (23 April) – Bebanan yang ditanggung oleh keluarga Bakri Rapia dari Kampung Hilir apabila rumah mereka musnah dijilat api pada 19 April lalu akan dapat dikurangkan menerusi pemberian bantuan Skim Rumah Mesra Rakyat selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri ketika ditemui berkata beliau akan membawa permohonan Skim Rumah Mesra Rakyat ini kepada Kementerian Perumahan Sarawak bagi membantu keluarga mangsa mendapatkan kediaman baru setelah dilanda musibah terbabit.

“Saya telah menemui mangsa (Bakri) dan beliau telah pun bersetuju untuk memohon Skim Rumah Mesra Rakyat ini dengan kelayakan surat hak milik tanah yang ada padanya.

“Saya yakin pihak kementerian akan meluluskan permohonan ini secepat yang mungkin berdasarkan kepada kes keluarga mangsa selagi permohonan itu menepati syarat dan prosedur yang ditetapkan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai menyampaikan sumbangan wang bernilai RM500 kepada keluarga Bakri dan seterusnya meninjau tapak kebakaran rumah mangsa di Kampung Hilir baru-baru ini.

Sementara itu Simoi juga menasihati semua penduduk dalam DUN Lingga untuk memeriksa kembali sistem pendawaian elektrik dalam rumah masing-masing terutama sekali bagi sistem pendawaian yang sudah berusia melebihi 10 tahun.

“Kehadiran haiwan perosak seperti tikus mungkin boleh menjurus kepada berlakunya masalah litar pintas terhadap sistem pendawaian eletrik dalam rumah penghuni masing-masing.

“Justeru adalah amat penting penghuni rumah memeriksa sistem pendawaian elektrik dalam rumah mereka demi mengelakkan berlakunya kejadian kebakaran di masa akan datang,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment