Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 April, 2009

Proton Exora dilancar hari ini!




Caption: MENARIK! Lee (kiri sekali) bersama kakitangannya menunjukkan tanda bagus di hadapan Proton Exora menerusi majlis pelancaran yang berlangsung di premis syarikat Sri Aman Automobile Sdn Bhd hari ini.

SRI AMAN, Khamis (16 April) – Syarikat Sri Aman Automobile Sendirian Berhad, pengedar sah bagi syarikat Proton telah melancarkan model terbaru Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) iaitu Proton Exora bermula hari ini hingga 18 April kelak.

Sri Aman Automobile telah memperkenalkan model kenderaan Proton Exora ini menerusi sebuah majlis pelancaran di premis syarikatnya yang turut dilancarkan secara serentak di seluruh negara yang bermula seawal jam 8 pagi hari ini.

“Model keluaran terbaru Proton ini boleh didapati dalam dua jenis iaitu Exora 1.6 AT Hi-Line (H-Line) dan Exora 1.6 AT Medium-Line (M-Line),” menurut Pengarah Jualan syarikat Sri Aman Automobile, Maxwell Lee Teck Koon ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran itu.

Kenderaan Proton Exora ini menurut beliau hanya dijual dalam bentuk gear automatik dan menawarkan ciri penggunaan enjin, keselamatan, ruang kenderaan dan aksesori menarik yang semestinya dapat memberikan kepuasan terbaik terhadap penggunanya selepas ini.

Ditawarkan bagi tujuan kegunaan semua peringkat golongan pengguna di sini, Proton Exora ini kata Lee boleh didapati dalam enam buah warna iaitu Solid White, Blue Haze, Pyrite Brown, Gala Blue, Tranquility Black dan Genetic Silver.

“Bagaimanapun Proton Exora model 1.6 AT H-Line mempunyai kelebihan berbanding dengan model 1.6 AT M-Line dari segi penyediaan aksesorinya iaitu Seat and Door Trim Finishing (leather), Front Fog Lamps, Rear Spoiler, Front Seat Armrest, Cruise Control, GPS, DVD / LCD Monitor dengan SD/MMc slot USB dan Tinted Glass.

“Proton Exora model 1.6 AT H-Line solid dijual dalam harga RM77,948 manakala model 1.6 AT M-Line solid pula dijual dengan harga RM71,948 dan jika diteliti harga kedua-dua model ini hanya dibezakan dengan nilai melebihi RM6,000,”jelas beliau.

Justeru Lee berharap agar orang ramai dari sekitar bandar Sri Aman ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri dengan lebih dekat model kenderaan Proton Exora di premis syarikat Sri Aman Automobile dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang sehingga 18 April ini.

“Mereka yang ingin tahu lebih lanjut mengenai model kenderaan ini boleh menghubungi saya sendiri di talian 019-8170686 atau menghubungi syarikat kami menerusi talian 083-323368,” katanya.

Jamuan makanan ringan dan minuman juga turut disediakan terhadap orang ramai yang datang ke majlis pelancaran model kenderaan Proton Exora itu di premis syarikat tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment