Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

15 April, 2009

Pesta Ikan Tapah Pantu boleh dicadang untuk acara dalam kalendar pelancongan Sarawak - Snowdan


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Rabu (15 April) – Penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 akan menjadi lebih berprestij sekiranya acara itu dapat diserapkan dalam kalendar pelancongan Sarawak di masa akan datang kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

“Saya berminat untuk mengemukakan cadangan kepada pihak Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bagi membolehkan Pesta Ikan Tapah Pantu menjadi sebahagian daripada acara pelancongan yang penting menerusi kalendar pelancongan mereka dalam negeri ini di masa akan datang.

“Bagaimanapun kita terlebih dahulu harus memastikan penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada pengunjung luar dan dalam sebelum cadangan ini dapat dikemukakan kepada pihak STB selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Kawasan daerah kecil Pantu menurut beliau akan lebih berpeluang untuk mengalami transformasi pembangunan sekiranya Pesta Ikan Tapah Pantu berjaya diserapkan dalam kalendar pelancongan Sarawak selepas ini.

Kerajaan kata Snowdan akan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan di Pantu disamping menjana peluang perolehan ekonomi yang lebih tinggi dikalangan penduduk tempatan menerusi penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu.

“Sebagai wakil rakyat di situ (Pantu) saya merasa amat berbangga kerana penganjuran Pesta Ikan Tapah ini nanti dapat mempromosi kawasan Pekan Pantu terhadap penduduk dari kawasan luar yang tidak begitu mengenali pekan ini sebelumnya.

“Justeru harapan saya menerusi pesta ini nanti ialah agar ia dapat mengubah wajah pembangunan di kawasan Pekan Pantu dan Lachau disamping mempromosi produk ikan Tapah yang terdapat di kawasan sungai di situ,” katanya.

Beliau juga mahu penduduk di kawasan Pantu untuk tidak melepaskan peluang berniaga ketika berlangsungnya sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 di kawasan Pekan Pantu itu nanti.

Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 akan dianjurkan buat julungkalinya di Pekan Pantu, Sri Aman bermula dari 24 hingga ke 26 April ini nanti dengan menampilkan tujuh buah acara menarik iaitu Pentas Rakyat, Pertandingan Menangkap Ikan dan Udang, Sukan Air, Sukan Rakyat, Gerai Jualan Hasil Pertanian, Gerai Jualan dan Pameran Pembangunan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment