Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 April, 2009

Baitulmail derma keperluan makanan kepada keluarga Bakri


Caption: IKHLAS...Shamsul (kanan) menyampaikan bantuan kepada wakil keluarga mangsa (kiri) ketika berlangsungnya upacara penyampaian sumbangan di sini baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (27 April) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman baru-baru ini telah menyampaikan Sumbangan Bencana Alam kepada keluarga Bakri bin Rapia apabila kediaman mereka musnah dijilat api menerusi kejadian kebakaran di Kampung Hilir pada 19 April lalu.

Sumbangan Bencana Alam berupa barangan keperluan makanan ini telah disampaikan sendiri oleh Pengurus TBS cawangan Sri Aman, Shamsul Bahri Manap kepada wakil keluarga mangsa sambil disaksikan oleh Ketua Kaum Kawasan Kampung Hilir iaitu Haji Abang Mazaman bin Abang Kawi.

Shamsul ketika ditemui berkata sumbangan Bencana Alam oleh pihak TBS ini bertujuan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa yang dilanda musibah berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak TBS melahirkan rasa simpati berhubung nasib malang yang telah menimpa keluarga Bakri Rapia dari Kampung Hilir apabila rumah mereka musnah dijilat api sekitar jam 6.39 petang pada 19 April lalu.

“Justeru atas sebab ini pihak kami telah tampil memberikan sumbangan berupa barangan keperluan makanan kepada keluarga mangsa seperti mana yang telah kami lakukan terhadap lain-lain keluarga mangsa kebakaran yang lain sebelum ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar keluarga Bakri Rapia dapat memanfaatkan sumbangan yang disampaikan oleh TBS cawangan Sri Aman dengan sebaik yang mungkin demi kebaikan ahli keluarga mereka selepas ini.

Terdahulu ssembilan anggota bomba bersama dengan sebuah jentera pemadam dari Balai Bomba Sri Aman telah bergegas ke tapak kejadian kebakaran pada jam 7 petang dan tiba di situ kira-kira 26 minit kemudian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 petang.

Api kebakaran yang memusnahkan kediaman milik keluarga Bakri itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.58 petang dan operasi oleh pihak bomba berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 8.32 malam.

Tamat.

No comments:

Post a Comment