Mugshot: ABDUL RAHMAN SEBLI SANUSI
SRI AMAN, Rabu (6 Julai) – Tiga buah acara terbaru kini sedang berada dalam perancangan jangka panjang pihak Pejabat Residen Bahagian Sri Aman demi mengangkat status penganjuran Pesta Benak di masa akan datang.
Residen Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi ketika dihubungi berkata tiga buah acara terbabit adalah Pertandingan Meluncur Benak Tempatan, Pertandingan Meluncur Benak Antarabangsa dan Pertandingan Ratu Benak Terbuka Negara Luar.
Menurut beliau Pertandingan Meluncur Benak Tempatan di Sungai Batang Lupar akan memberi laluan kepada penduduk tempatan untuk menyertai pertandingan terbabit menerusi dengan menggunakan kemahiran para peluncur ombak dari luar negara.
“Selepas itu pihak kita merancang untuk mengadakan Pertandingan Meluncur Benak Antarabangsa yang melibatkan penyertaan semua peluncur luar negara dari seluruh negara,” katanya.
Bagi mengasah bakat meluncur dikalangan anak muda tempatan kata Rahman, pihaknya akan menjemput seorang peluncur antarabangsa untuk memberi ceramah mengenai sukan terbabit demi mempertingkatkan kesedaran mereka terhadap keistimewaan sukan itu.
Dengan meningkatnya minat penduduk dalam sukan ini maka beliau yakin bahawa sambutan Pesta Benak Sri Aman akan menjadi tarikan ramai pengunjung pada masa akan datang.
“Bagi Ratu Benak pula, kita akan menjemput peserta dari negara-negara berdekatan seperti India, Indonesia dan banyak lagi. Kesemua ini pelan jangka panjang kita untuk menjenamakan Pesta Benak Sri Aman dalam jangka masa lima tahun akan datang,” katanya.
Selain itu pihak Pejabat Residen Sri Aman juga tidak akan bergantung kepada sukan Regatta dan lain-lain acara di Sungai Batang Lupar semata-mata untuk menarik kedatangan minat pengunjung ke Pesta Benak.
“Justeru untuk menjayakan perlaksanaan ketiga-tiga pertandingan terbabit adalah amat memerlukan tiga syarat utama iaitu pakej pelancongan, penginapan (hotel) dan penajaan dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.
Rahman turut menambah bahawa lebih 50,000 orang pengunjung menyaksikan acara yang berlangsung pada Pesta Benak Sri Aman 2011 dari 1 hingga 4 Julai lepas dengan 40 peratus daripada jumlah itu adalah pengunjung luar.
Tamat.
No comments:
Post a Comment