Caption: CERIA...Seorang peniaga kelihatan ceria menjual produknya terhadap Collin di Pasar Tamu Sri Aman kelmarin.
SRI AMAN, Jumaat (29 Julai) – Jika berkunjung ke Bandar Sri Aman jangan lepaskan peluang anda untuk membeli pelbagai produk menarik yang ditawarkan di Pasar Tamu dalam bandar ini.
Semenjak ia beroperasi dalam bandar ini dari era tahun 1980-an dahulu, Pasar Tamu Sri Aman sememangnya tidak lekang dengan kunjungan ramai pengguna pada waktu saban pagi dan petang hingga sekarang.
Walaupun Pasar Tamu Sri Aman tidak asing bagi penduduk tempatan dalam bandar ini namun keunikkannya nyata menjadi aura bagi semua orang yang nyata tidak jemu untuk membeli belah di pasar berkenaan.
Ini kerana di Pasar Tamu Sri Aman, orang ramai berpeluang untuk membeli pelbagai produk yang mereka suka bermula dari barangan kraftangan hinggalah ke barangan makanan.
“Produk hasil tani dan hutan adalah fokus utama saya jika berkunjung ke sini,” kata seorang pengunjung dari Rumah Hearold Ernest, Selantik Ili, Pantu iaitu Collin anak Anis ketika ditemui kelmarin.
Pasar Tamu Sri Aman akan menjadi lokasi pertama beliau sekiranya bertandang ke Bandar Sri Aman untuk mendapatkan produk hasil hutan dan tani seperti Upak Pantu, keladi, kangkong dan sebagainya.
Beliau juga berpeluang untuk melihat barangan kraftangan Iban yang ditawarkan oleh penjual di Pasar Tamu Sri Aman selain dari membeli produk makanan kering dan kasam untuk kegunaan seisi keluarganya.
“Segalanya lengkap di Pasar Tamu Sri Aman. Peluang untuk membeli produk kehidupan harian sememangnya cukup luas di sini pada setiap hari berbanding daripada pergi ke tempat lain.
“Kepada pengunjung luar, jika anda bertandang ke Sri Aman sila jangan lepaskan peluang untuk membeli buah tangan masing-masing di Pasar Tamu Sri Aman,” menurut beliau.
Dianggarkan lebih daripada 50 orang peniaga menjual pelbagai jenis produk di Pasar Tamu Sri Aman antaranya ialah sayur-sayuran, buah, ikan, ketam, kasam, ikan masin, kraftangan, aksesori dan banyak lagi.
Tamat.
mmg berguna untuk kerja kajian geografi tempatan saya :D thank you so much!!
ReplyDelete