Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS
SRI AMAN, Sabtu (2 Julai) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis memohon pihak Kementerian Pelancongan untuk memberi geran tahunan bagi membolehkan penganjuran Pesta Benak di Sri Aman pada setiap tahun.
Beliau menyatakan permohonan terbabit ketika ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Benak Sri Aman 2011 bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.
“Kita memerlukan geran tahunan untuk menganjurkan Pesta Benak. Saya yakin dengan adanya geran terbabit maka sambutan Pesta Benak akan dapat diadakan dengan penuh lancar di bandar ini pada setiap tahun,” katanya.
Selain itu penganjuran Pesta Benak kata Harden juga secara tidak langsung dapat mempromosi produk eko pelancongan di kawasan Sri Aman kepada pengunjung dari dalam dan luar negara selepas ini.
Produk eko pelancongan yang dipromosi menerusi sambutan Pesta Benak ini kata beliau secara tidak langsung akan dapat menaikkan lagi status ekonomi penduduk dalam kawasan Sri Aman pada masa akan datang.
“Benak misalannya merupakan produk eko pelancongan semulajadi di Sungai Batang Lupar yang sering menarik kedatangan pengunjung ke Bandar Sri Aman pada setiap bulan walaupun tanpa penganjuran Pesta Benak.
“Justeru jika pihak kementerian dapat menyalurkan geran bagi tujuan penganjuran Pesta Benak maka nescaya Bandar Sri Aman akan dapat menjadi tumpuan pelancong asing di masa akan datang,” katanya.
Terdahulu Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Mohammad Salahuddin telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Benak Sri Aman 2011 bertempat di pentas sambutan pesta terbabit pada jam 11 pagi hari ini.
Hadir sama ialah isteri beliau, Toh Puan Hajah Norkiah, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Morshidi Abdul Ganie, Menteri Perumahan Dan Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Haji Openg, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pelancongan, Datuk James Dawos Mamit dan wakil rakyat BN yang lain.
Tamat.
No comments:
Post a Comment