BETONG, Isnin (11 Julai) – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang mencadangkan Kerajaan Pusat agar mendaftarkan sejumlah lima buah rumah panjang dalam kawasan Ulu Paku, Betong sebagai warisan nasional selepas ini.
Katanya lima buah rumah panjang tradisional berkenaan, dua daripadanya adalah Penom dan Samu harus dijadikan sebagai warisan nasional memandangkan rumah panjang terbabit menyimpan nilai tradisional yang agak tinggi semenjak dari dulu.
“Rumah Wilson Begat Bakir, Penom Ulu Paku ini misalannya telah dibina semenjak 85 tahun yang lepas dan yang kedua tertua selepas Samu dengan menggunakan alatan tradisional seperti kapak dan alat binaan berupa kayu Tebelian.
“Saya yakin jika rumah panjang ini menyimpan nilai tradisional yang tinggi dan mampu dijadikan sebagai produk tarikan pelancong sekiranya kerajaan menjadikannya sebagai warisan negara di masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2011 bertempat di Rumah Wilson Begat Bakir, Penom Ulu Paku, Betong hari ini.
Selain itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri adalah merupakan sebuah kerajaan yang tidak mampu diganggu gugat oleh pihak pembangkang apabila mereka memenangi 55 (77.5 peratus) daripada 71 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lepas.
“Sarawak sememangnya mempunyai kestabilan politik yang kukuh sehingga menyakinkan para pelabur asing untuk datang melabur ke dalam negeri ini dari masa ke semasa.
“Justeru saya berharap agar kestabilan politik dan kemakmuran negeri Sarawak pada masa sekarang akan dapat menyumbang kepada pembangunan hidup rakyat di masa akan datang,” katanya.
Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2011 bertempat di Rumah Wilson Begat Bakir, Penom Ulu Paku, Betong itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato Seri Utama Dr Rais Yatim, para menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, menteri kabinet Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, ADUN BN, pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di sini.
Tamat.
steady post ni..saya juga berasal dari Samu Betong.kini menduduk d kuching
ReplyDelete