Pix By Rais Sanusi
SRI AMAN, Sabtu (2 Julai) – Usaha untuk membuat kajian terhadap Ikan Terubuk dan hidupan akuatik yang lain akan terus diperhebatkan oleh kerajaan di beberapa batang sungai dalam negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang selaku mewakili Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2011 di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.
“Saya sudah pun memohon kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memperhebatkan lagi usaha membuat kajian terhadap spesis Ikan Terubuk dan hidupan akuatik yang lain dalam sungai negeri ini.
“Kita akan memperhebatkan kajian mengenai hidupan spesis ikan berkenaan di kawasan Sungai Batang Lupar (Lingga dan Sri Aman), Sungai Batang Sadong dan Sungai Batang Lasa,” katanya.
Hasil kajian terbabit kata Jabu akan membolehkan kerajaan mencari kaedah bagi mewujudkan biodiversiti yang lebih sesuai di sungai tersebut khasnya bagi menyokong pertambahan populasi Ikan Terubok serta hidupan akuatik bernilai tinggi yang lain.
“Lagipun Sungai Batang Lupar secara semulajadinya telah mewujudkan keadaan eko sistem sungai yang canggih sehingga mengalak pembiakan hidupan akuatik dalam sungai terbabit.
“Justeru saya menyokong supaya kajian diadakan di sungai ini demi membolehkan para saintis merangka pelan bagi mewujudkan biodiversiti yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Mohammad Salahuddin telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Benak Sri Aman 2011 bertempat di pentas sambutan pesta terbabit pada jam 11.30 hari ini.
Hadir sama ialah isteri beliau, Toh Puan Hajah Norkiah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Morshidi Abdul Ganie, Menteri Perumahan Dan Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Haji Openg, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pelancongan, Datuk James Dawos Mamit.
Tun Salahuddin bersama rombongan berkesempatan untuk menyaksikan acara Regatta yang berlangsung di Sungai Batang Lupar sebelum melawat ke tapak pameran di tapak tebingan sungai terbabit.
Tamat.
No comments:
Post a Comment