Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 January, 2012

Beberapa orang Tuai Rumah di Lubok Antu sangkal laporan akhbar berhubung isu pembangunan tanah NCR di kawasan mereka

Caption: SANGKAL...Para Tuai Rumah dari beberapa buah rumah panjang di kawasan Lubok Antu menyangkal berita mengenai satu isu yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar tempatan di sini hari ini.

SRI AMAN, Isnin (9 Jan) – Beberapa orang Tuai Rumah dalam kawasan Lubok Antu melahirkan rasa terkilan terhadap berita mengenai isu pembangunan tanah NCR di kawasan mereka seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu kelmarin.

Ia merupakan respon mereka terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Gilbert Gindih, Brown Sang Lagan dan rakan mereka dalam akhbar itu berhubung status syarikat yang akan melaksanakan pembangunan tanah NCR di kawasan seluas 2,000 hektar di situ.

Para Tuai Rumah yang terkilan berhubung berita terbabit ialah Tr. Jarop Kalang, Tr. Lampie Sating, Tr. Winston Manai Jalak, Tr. Serau Agang, Tr. Kumpang Badak dan Tr. Sablie Mujap dari rumah panjang Changkol, Bulo, Empit, Nanga San, San Sebur dan Batu Bebini di Lubok Antu.

“Kami tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu memandangkan belum ada wakil syarikat yang bertemu dengan kami bagi tujuan pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan ini.

“Atas sebab ini juga kami belum lagi menubuhkan “Area Development Committee”(ADC) bagi tujuan itu,” menurut siaran media yang dikeluarkan oleh para Tuai Rumah berkenaan hari ini.

Selain itu mereka yang mewakili penduduk rumah-rumah panjang itu juga berkata tidak bersetuju menyerahkan tanah NCR kepada pihak pemaju dan ia telah pun dinyatakan kepada Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau Badak sebelum ini.

Malah Nyalau menurut kumpulan Tuai Rumah terbabit juga telah menyatakan kesediaan untuk membawa mereka kepada pihak Kementerian Kemajuan Tanah bagi menyelesaikan perkara itu baru-baru ini.

“Kami berasa amat kecewa kerana terdapat segelintir pihak mengutarakan isu ini melalui surat khabar hanya semata-mata mahu meraih sokongan dan populariti dengan mengherat masalah peribadi dan keluarga masing-masing.

“Lagipun kami juga tidak bersetuju pihak yang menerbitkan isu ini melalui surat khabar mengaitkan Ahli Parlimen memandangkan beliau sendiri pernah menasihatkan kami untuk berbincang serta tidak menyiarkan isu tersebut dalam akhbar,” kata mereka.

Mereka juga menambah bahawa Nyalau adalah seorang ahli parlimen yang prihatin dan senang untuk dibawa berbincang disamping telah banyak membantu penduduk di kawasan parlimen beliau.

“Beliau adalah Pembimbing Rakyat Sejati. Sebarang  tuduhan palsu harus dielakkan untuk menghormati kepimpinan beliau,” kata mereka sambil menyatakan sokongan kepada beliau pada pilihan raya kelak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment