Mugshot :
1. JAMES...Impak ekonomi
2. MATHEW...Harus sedia
SRI AMAN, Sabtu (31 Dis) – Sebaik sahaja jarum saat angka berdetik melimpasi jam 12 tengah malam pada 31 Disember ini maka penduduk seluruh dunia akan bersama-sama merayakan sambutan Tahun Baru 2012.
Dengan tibanya tahun 2012 maka segala aktiviti penting yang pernah dilakukan oleh mereka sama ada gagal atau berjaya semestinya akan menjadi nostalgia buat mereka bagi tahun 2011.
Pengalaman manis dan buruk dalam hidup yang pernah dilalui oleh mereka sepanjang tahun 2011 juga bakal mewujudkan kesedaran baru untuk berubah menjadi lebih baik bagi tahun 2012 ini.
Malah ada di antara mereka yang berharap agar tahun 2012 memberi masa depan yang lebih baik terhadap dunia khasnya negara Malaysia dalam menghadapi pelbagai krisis akan datang.
“Azam untuk memajukan diri tidak akan bermakna sekiranya keadaan dunia yang tidak menentu memberi impak terhadap negara kita pada tahun 2012 kelak,” Pengawal Keselamatan dari syarikat Safeguards G4S, James Ngumbang, 33 tahun.
James yang rajin mengikuti isu ekonomi dunia menerusi media cetak berkata bahawa beliau khuatir keadaan ekonomi tidak menentu dikalangan negara Eropah boleh memberi impak negatif terhadap ekonomi negara ini pada tahun 2012.
“Apa gunanya azam mahu memajukan diri jika negara mengalami kemelesatan ekonomi disebabkan oleh faktor itu? Justeru adalah lebih baik jika kita berdoa agar kemelut ekonomi di negara Eropah dapat diselesaikan pada tahun 2012 ini,” katanya.
Manakala itu rakan sejawat beliau iaitu Mathew Doren, 30, pula berharap bahawa agar Kerajaan Pusat termasuk Kerajaan Negeri bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari pelbagai segi pada tahun 2012 nanti.
Beliau berharap agar kerajaan bukan sahaja mampu menangani kemungkinan kemelut ekonomi pada tahun 2012 malah mampu menangani sebarang kejadian bencana yang mungkin berlaku pada tahun itu.
“Tahun 2011 telah menyaksikan banyak negara di kawasan Asia Tenggara dilanda banjir. Ia bencana alam yang jarang berlaku di kawasan rantau negara pada penghujung tahun terbabit.
“Mujurlah negara kita mampu menangani isu ini dengan baik. Oleh itu saya berharap agar kerajaan kita akan menjadi lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dari segi politik, ekonomi dan sosial pada tahun 2012 kelak,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment