Caption: SABAR...Para anggota RELA sedang berbaris untuk mendaftar diri masing-masing sebagai penderma darah ketika berlangsungnya program itu hari ini.
SRI AMAN, Sabtu (28 Jan) – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman nyata ketinggalan untuk menjayakan Program Derma Darah Perdana 2012 yang dianjurkan serentak di seluruh negara bermula jam 8 pagi hingga 2 petang hari ini.
Tinjauan Utusan Sarawak sekitar awal pagi hari ini mendapati bahawa kawasan Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman (sebelah Balai Polis Sri Aman) dibanjiri para anggota RELA yang mahu menderma darah di situ.
Jurucakap penganjur ketika ditemui memberitahu sejumlah 81 orang anggota RELA sudah mendaftar diri untuk menderma darah menerusi kempen ini bermula dari jam 8 hingga 9.30 pagi.
“Pihak kami menjangkakan kehadiran seramai 200 orang anggota RELA Daerah Sri Aman dengan sasaran seramai 100 orang akan mendaftarkan bagi menderma darah masing-masing menerusi program ini.
“Pasukan RELA Daerah Sri Aman yakin akan dapat mencapai sasaran ini dengan 81 orang anggota sudah pun mendaftar diri masing-masing untuk menderma darah pada jam 9.30 pagi,” katanya.
Sementara itu Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua Ijau ketika ditemui berharap agar program ini dapat membantu pasukan RELA Malaysia untuk mencipta rekod baru dalam Malaysian Gunniess Book Of Record.
Program Derma Darah Perdana 2012 ini katanya akan mengumpul jumlah penyertaan teramai anggota RELA dalam sehari di seluruh negara yang mengambil bahagian pada program itu serentak pada hari ini.
“Selain itu Program Derma Darah Perdana 2012 ini juga membolehkan anggota RELA berbakti terhadap masyarakat dengan membantu menyumbang darah bagi keperluan Bank Darah.
“Justeru kita berharap agar pembabitan anggota RELA Daerah Sri Aman dalam program ini akan dapat membantu RELA Malaysia mencipta rekod baru dalam Malaysian Gunniess Book Of Record pada hari ini,” katanya.
Tamat.