Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 August, 2010

Rokiah raih keuntungan masa Ramadan


Caption: DAPAT SAMBUTAN...Tetet (kanan) ketika sibuk melayan pelanggan yang mahu membeli juadah di gerai beliau baru-baru ini.


SIMUNJAN, Khamis (19 Ogos) – Sambutan Bulan Ramadan Al-Mubarak sememangnya memberi rahmat kepada semua orang terutama sekali terhadap umat Islam yang menunaikan ibadat puasa sepanjang bulan terbabit.

Begitulah perihalnya bagi seorang penduduk iaitu Rokiah binti Jawi, 32, yang telah memanfaatkan sepenuhnya sambutan Bulan Ramadan ini untuk mencari rezeki halal bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

Rokiah atau panggilan mesranya iaitu Tetet yang kini tinggal Kampung Keleka, Simunjan telah mengusahakan perniagaan menjual kuih-muih termasuk pisang goreng kepada penduduk ketika berlangsungnya sambutan Ramadan ini.

Dengan menjadikan kawasan tepi jalan kampungnya sebagai lokasi niaga, Rokiah ketika ditemui Utusan Sarawak memberitahu bahawa beliau mampu meraih pendapatan menerusi perniagaannya sekitar RM300 hingga RM400 sehari ketika berlangsung sambutan Bulan Ramadan di Simunjan.

“Sebenarnya saya sudah menjalankan perniagaan seperti ini di kampung saya pada setiap hari (bukan ketika sambutan Bulan Ramadan) dengan nilai perolehan keuntungan sebanyak RM40 hingga RM50 sehari.

“Bagaimanapun nilai perolehan keuntungan sehari meningkat antara RM300 hingga RM400 ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadan. Bagi saya inilah rahmat yang kita dapat perolehi pada sambutan bulan mulia ini,” katanya.

Tetet sambil dibantu oleh suaminya iaitu Safudin bin Lamat dan anak-anak telah membuat tidak kurang daripada 20 jenis kuih-muih dan menjadikan lokasi berdekatan stesen minyak Shell di Pekan Simunjan untuk menjual juadah berbuka puasa kepada penduduk.

Katanya beliau bersama keluarga akan memulakan perniagaan menjual kuih-muih dan juadah berbuka berdekatan dengan stesen minyak berkenaan bermula jam 2.30 petang ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadan di sini.

“Stesen minyak Shell, Simunjan menjadi lokasi tetap saya dan keluarga untuk berniaga ketika berlangsungnya bulan puasa. Justeru saya berharap agar lain-lain penduduk juga mengambil peluang berniaga ketika berlangsungnya bulan mulia ini,” menurut beliau yang turut menerima tempatan untuk membuat kuih-muih daripada penduduk di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment