Caption: MERIAH...Sebahagian daripada penduduk yang membanjiri kawasan tapak pameran bersempena dengan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak hari ini.
BETONG, Sabtu (31 Julai) - Bandar Betong menjadi tumpuan hampir 4,000 orang pengunjung apabila berlangsungnya sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak bermula hari ini hingga 2 Ogos ini kelak.
Program yang berlangsung di perkarangan luar kawasan Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkang itu telah dijayakan dengan pembabitan sejumlah 15 buah agensi kerajaan, 124 buah gerai berdaftar dan 71 buah tapak khemah.
Tinjauan rambang Utusan Sarawak hari ini mendapati bahawa para penduduk mengunjungi kawasan pameran hasil tani dan teknologi pertanian moden, gerai jualan hasil tani dan pameran haiwan.
Mereka juga berpeluang untuk mendengar randau teknologi disamping menyaksikan pertandingan peladang dan demonstrasi memasak yang berlangsung pada program berkenaan.
Suasana penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak ini juga turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan oleh beberapa orang artis rakaman popular dalam negeri ini.
Terdahulu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang telah mewakilil Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk merasmikan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak hari ini.
Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung selama tiga hari ini nanti dianjurkan berasaskan kepada tema Pertanian adalah Perniagaan.
Program ini diyakini dapat memberi manfaat kepada penduduk khusus sekali dari sekitar kawasan Betong tentang pelbagai ilmu mengenai industri pertanian moden di negara ini pada masa akan datang.
Ia juga dapat mewujudkan kesedaran dikalangan penduduk miskin tegar mengenai betapa pentingnya pertanian moden untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka selepas ini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment