BERSENANDIKA SEJENAK
WILLIAM CHAN
william_chan@utusansarawak.com.my
MANTAPKAN INDUSTRI MAKANAN DI SARAWAK
KEPADA para peladang, penternak dan nelayan di Sarawak: Selamat menjalankan usaha anda sekalian. Sesungguhnya sumbangan anda untuk negara, negeri dan masyarakat amat besar signifikannya. Atas sebab itulah saban tahun, sejak 1984 lagi anda semua telah diiktiraf dalam peristiwa yang dinamakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan. Sejak itu, tidak pernah tidak, setiap tahun, anda semua diraikan secara bergilir-gilir di Kota Samarahan, Saratok, Mukah, Kuching, Betong, Lawas, Pusa, Sarikei, Bintulu, Bekenu, Lundu, Simunjan, Kanowit, Marudi, Miri, Kapit dan Sri Aman.
Kalau anda amati lokasi perayaan diadakan melibatkan tempat-tempat yang relevan dengan anda. Kesemua tempat yang dipilih itu ada ladang masing-masing, ada hasil mahsul bumi dan laut. Malahan, di mana tempat di negeri kita tiada hasil mahsul itu? Sesungguhnyalah, Bumi Kenyalang bertuah kerana dilimpahi Tuhan dengan hasil mahsul yang amat banyak dan berharga sekali. Hasil titik peluh anda semua maka negara, negeri dan masyarakat kita tidak kebuluran. Semoga Tuhan memberkati terus anda semua.
Hari Peladang, Penternak dan Nelayan diadakan sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan jasa anda semua terhadap pembangunan negara. Semua warganegara di Bumi Kenyalang ini menaruh harapan kepada anda semua peladang, penternak dan nelayan agar terus memantapkan industri makanan di Sarawak. Dalam era global ini orang sudah bercakap tentang kekhuatiran sekuriti makana. Dunia sudah bersiap sedia untuk memastikan pada zaman-zaman mendatang manusia janganlah kebuluran dan di tangan anda semua jaminan ini digalaskan.
Sungguh besar sumbangan anda semua sehingga mungkin ada dalam kalangan anda sendiri tidak menyedari ini. Justeru, jangan sekali-kali berasa malu, rendah diri atau tidak menghargai diri anda kerana anda tergolong dalam kalangan anggota masyarakat yang bukan kepalang bakti dan jasa. Atas sebab itulah kerajaan sanggup berbelanja untuk menganjur majlis meraikan anda semua.
Justeru, dalam menyedari sumbangan anda untuk negara, negeri dan masyarakat maka janganlah kita sekali-kali terlalu mudah tertelan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengaburi mata hati kita dengan meniadakan apa yang dihargai kita selama ini. Ada pihak dengan sewenang-wenangnya cuba menghasut kita untuk menolak kerajaan yang sudah sekian lama membimbing kita semua maju ke hadapan. Dalam erti kata lain kita diajak untuk membunuh angsa yang menetas telur emas. Soalnya, apakah penghasut ini akan membawa kita maju ke depan?
Kita ibarat jauhari mengenal manikam. Justeru, jauhari mana yang mahu memilih kaca dan membuang manikam. Ingatlah, pihak pembangkang cuba meracuni fikiran kita dengan hasutan yang tidak relevan kerana nafsu mereka hanyalah untuk berkuasa. Mereka iri hati dengan kejayaan yang sama-sama telah kita capai dan mahu meretakkan kita. Mereka hanya mahu mengeruh yang jernih. Tepuk dada tanya selera.
Banyak ikhtibar yang perlu kita renungkan bersama
ReplyDelete