Caption: TERIMALAH...Shamshuddin (kiri) sedang menyampaikan beras kepada penerima (kanan) sambil disaksikan oleh Kamri (tiga kiri), Samad (dua kanan), Zaidi (tengah belakang) dan Molek (dua kiri) pada majlis itu.
SRI AMAN, Isnin (30 Ogos) – Seramai 92 orang penduduk dari empat buah kampung dalam kawasan Sri Aman menerima sumbangan beras hasil tajaan Padiberas Nasional Berhad atau BERNAS di Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu kelmarin.
Kesemua 92 orang penerima dari Kampung Hulu, Kampung Tengah, Kampung Pasir Panas dan Kampung Lemanak ini terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya, orang kurang berkemampuan, ibu tunggal dan Warga Emas.
Majlis sumbangan beras yang disempurnakan oleh Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji ini turut disaksikan oleh Pengurus Pentadbiran BERNAS Sarawak, Kamri Abdul Raup, Pegawai Tadbir Sosial, Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Haji Sarwaki dan wakil BERNAS Sri Aman, Dayang Molek Awang Majafar.
Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim ketika ditemui pada majlis itu memberitahu sumbangan beras terbabit telah diusahakan sendiri oleh beliau dengan memohon bantuan berkenaan daripada BERNAS sebelum ini.
“Ia merupakan usaha saya dan BERNAS untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan ini lebih-lebih lagi ketika berlangsung sambutan Bulan Ramadan pada masa sekarang.
“Justeru dengan adanya sumbangan ini maka golongan terbabit tidak akan mempunyai masalah untuk memasak keperluan makanan masing-masing. Terima kasih kepada BERNAS di atas tajaan beras berkenaan,” katanya.
Selain itu Samad juga menyeru golongan berkemampuan dalam bandar Sri Aman untuk turun padang bagi memberikan bantuan kebajikan terhadap mereka yang amat memerlukan perhatian penduduk selama ini.
Golongan Orang Kurang Upaya, orang miskin, ibu tunggal dan Warga Emas katanya berhak menikmati kesenangan hidup sepertimana yang dinikmati oleh golongan penduduk berkemampuan di bandar ini.
“Mereka juga mahu merasai kemeriahan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu penduduk berkemampuan perlu menunjukkan keprihatinan masing-masing dengan menyalur bantuan kebajikan terhadap mereka selepas ini,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment