Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 August, 2010

Pelatih PLKN jayakan gotong-royong


Caption: RAJIN...Para pelatih PLKN Bukit Saban ketika sedang melakukan kerja gotong-royong menerusi program berkenaan baru-baru ini.

BETONG, Selasa (10 Ogos) - Jabatan Penerangan Bahagian Betong telah menganjurkan “Program Khidmat Masyarakat Jabatan Penerangan Bersama PLKN Bukit Saban Betong” baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama Komuniti Bestari Kampung Melayu Betong dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) itu telah membabitkan penyertaan seramai 199 orang pelatih dan 15 orang jurulatih dari PLKN Bukit Saban, Betong.

Pengarah Penerangan Bahagian Betong / Sri Aman, Saini bin Bojeng memberitahu program yang diadakan secara serentak di seluruh negara ini adalah merupakan kerja gotong-royong membersihkan beberapa buah kawasan dalam daerah ini.

Antara kawasan berkenaan katanya adalah Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir, Kampung Melayu Passa dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.

“Program ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan perpaduan disamping merapatkan lagi hubungan Pelatih PLKN dengan masyarakat kampung dalam daerah Betong.

“Menerusi program ini pihak kita secara tidak langsung telah memberi ruang kepada para pelatih PLKN untuk melihat persekitaran dan mengenali kawasan kampung yang terdapat di daerah ini,” menurut beliau.

Selain itu pihaknya dengan kerjasama PLKN Bukit Saban juga telah merancang dua buah lagi aktiviti untuk para pelatih terbabit iaitu lawatan ke daerah Pusa, Betong dan program ceramah 1Malaysia selepas ini.

Justeru Saini berharap agar para pelatih PLKN dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang mereka perolehi menerusi aktiviti khidmat masyarakat terbabit setelah tamat menjalani latihan khidmat negara pada masa akan datang.

Hadir sama ialah Penghulu Kampung Melayu Betong, Haji Abang Zawawie Rajit, para ketua kampung, ahli jawatankuasa Komuniti Bestari Kampung Melayu Betong serta ahli masyarakat dari kawasan kampung berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment