Caption: UNTUK KENANGAN...Mashore (barisan tengah dua kanan) ketika bergambar kenangan bersama peserta, kakitangan sekolah dan ahli BSMM Sri Aman pada program itu.
PANTU, Isnin (9 Ogos) – Seramai 57 orang ahli Persatuan Kadet dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari sekitar kawasan Sri Aman mengambil bahagian dalam Program Pertolongan Cemas Asas dan CPR di sini baru-baru ini.
Program Pertolongan Cemas Asas dan CPR yang membabitkan pelajar pelajar Tahun 4,5 dan 6 itu telah berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Bangkong, Pantu.
Pengerusi Bencana Alam, BSMM cabang Sri Aman, Mas Mashore Haji Maslem ketika ditemui memberitahu program ini bertujuan untuk mendidik para pelajar tentang langkah pertolongan cemas dan CPR (pemulihan pernafasan dan jantung atau cardiopulmonary resuscitation).
“Kecemasan adalah satu keadaan yang berlaku apabila kebanyakan daripada kita tidak berada di dalam keadaan bersedia. Ia menyebabkan panik dan kadang-kala berlaku tindakan di luar kawalan yang mungkin boleh memudaratkan.
“Apa akan berlaku sekiranya rakan atau ahli keluarga kita menghadapi masalah kesihatan yang menyebabkan mereka berhenti bernafas dan jantung tidak berdenyut? Justeru latihan pertolongan cemas seperti CPR dilihat amat penting untuk menyelesaikan krisis seumpama itu di masa akan datang,” menurut beliau.
Selain itu kata Mashore, golongan muda seperti kanak-kanak juga harus diberi pendedahan awal terhadap langkah penggunaan CPR dan lain-lain pertolongan cemas yang lain selepas ini.
Beliau yang juga Pegawai Jurulatih BSMM cabang Sri Aman berkata kanak-kanak harus menguasai latihan pertolongan cemas ini diperingkat awal usia agar ia sebati dalam diri masing-masing apabila sudah dewasa kelak.
“Justeru pihak kami berharap para pelajar terbabit dapat memanfaatkan sepenuhnya segala pengetahuan yang mereka peroleh menerusi Program Pertolongan Cemas Asas dan CPR ini,” katanya.
Program ini turut dijayakan dengan penglibatan Setiausaha Kehormat BSMM cabang Sri Aman, Charles Tay, Penolong Komandan VAD BSMM Sri Aman, Johnek Henry dan Penolong Jurulatih BSMM cabang Sri Aman, Voon Min Sen.
Tamat.
No comments:
Post a Comment