Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 August, 2010

Guru perlu seiring dengan BN - Masir


Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Ahad (29 Ogos) – Golongan penjawat awam khasnya para guru dinasihat untuk terus seiring dengan pihak Barisan Nasional (BN) agar kerajaan dapat melaksanakan projek pembangunan dengan penuh lancar dari masa ke semasa.

Nasihat berkenaan ditujukan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat kepada para guru yang pernah menuntut di luar negara dan terdedah dengan suasana politik lebih yang ektreme sebelum ini.

“Kerajaan sedar bahawa para guru yang menuntut di kawasan luar negara sememangnya terdedah dengan pengaruh politik yang lebih ‘panas’ sebelum mereka pulang ke sini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Harapan kita ialah agar para guru tidak membawa masuk ideologi politik ‘panas’ di sini khasnya ke Sri Aman demi kebaikan pembangunan negeri pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi JKKK Taman Bayu B Sri Aman di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini baru-baru ini.

Kerajaan kata Masir memerlukan bantuan serta sumbangan para guru untuk mewujudkan golongan modal insan berkualiti kelas pertama demi kebaikan pembangunan negara dalam tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang.

Bagaimanapun jika para guru katanya menyebarkan ideologi politik panas mereka terhadap golongan generasi muda maka kesinambungan projek pembangunan negara dikhuatiri akan terjejas pada masa akan datang.

“Memang semua individu mempunyai kebebasan untuk memilih ideologi politik masing-masing namun biarlah politik yang mereka bawa mampu memberi kebaikan kepada pembangunan negara kita selepas ini,” katanya.

Justeru Masir berharap agar para guru terus memberi sokongan seratus peratus kepada pihak BN menjelang pilihan raya ini nanti memandangkan masa depan pembangunan negara bergantung sepenuhnya terhadap usaha mereka untuk mewujudkan golongan modal insan berkualiti kelas pertama.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri mUda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis. Hadir sama ialah Setiausaha sulit kepada Harden, Jerome Runggol, Pembantu MP Sri Aman, Abah Unggi, Ketua Polis Daerah Lubok Antu,. DSP George Merejok, Pengerusi JKKK Taman Bayu B, Eddie Libau, para ahli JKKK dan penduduk dalam bandar ini.

Masir pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM3,000 kepada JKKK Taman Bayu B manakala Harden pula mengumumkan peruntukan MRP dengan nilai yang sama kepada JKKK berkenaan.

Terdahulu permohonan bagi penubuhan JKKK Taman Bayu B telah diluluskan oleh pihak Pejabat Daerah Sri Aman pada 22 April lalu sebelum ia dilancar serta dirasmikan oleh Harden.

Tamat.

No comments:

Post a Comment