Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 January, 2012

Loji perawatan air RM49 juta dibina di Lubok Antu

Caption: RASMI...Entrie sedang menyempurnakan simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh (dari kanan) Cassidy, Nyalau, Mussen, Rayong dan Johnathan di sini hari ini.

LUBOK ANTU, Jumaat (20 Jan) – Masalah kekurangan bekalan air di kalangan penduduk Lubok Antu dijangka bakal selesai pada tahun hadapan dengan adanya projek pembinaan Loji Perawatan Air di sini.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan berkata projek yang menelan kos sebanyak RM49 juta itu akan mengambil tempoh selama 18 bulan untuk disiapkan.

“Sejumlah 20,000 orang penduduk dari lapan buah rumah panjang atau kampung bakal mendapat manfaat dengan adanya perlaksanaan Loji Perawatan Air Lubok Antu terbabit yang dijangka siap pada 12 April tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Muda Kemudahan Awam, Datuk Sylvester Entrie Muran ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Lubok Antu di Wong Entungan, Jalan Batu Kaya di sini hari ini.

Selain itu Loji Perawatan Air Lubok Antu yang baru ini nanti akan mampu membekalkan sejumlah 7.5 juta liter air sehari berbanding Loji Perawatan Air di Sungai Lemanak yang hanya mampu membekalkan sejumlah 3.0 liter juta air sehari.

Loji Perawatan Air di Sungai Lemanak itu kata Awang hanya mampu membekalkan air terawat kepada 7,500 orang penduduk dalam kawasan Lubok Antu jika mengikut statistik yang dikeluarkan oleh loji berkenaan.

“Disebabkan oleh perkara ini maka sejumlah 14,770 orang penduduk di Lubok Antu masih bergantung kepada air sungai, air hujan, telaga dan sebagainya untuk tujuan keperluan asas masing-masing.

“Justeru kita berharap agar projek terbaru ini akan mampu memberi kemudahan kepada semua penduduk Lubok Antu selaras dengan hasrat kita untuk memberikan kemudahan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Loji Perawatan Air terbaru ini nanti akan dapat membekalkan bekalan air ke rumah panjang sepanjang kawasan Nanga Bulo hingga ke jalan Lubok Antu dan juga dari Nanga Kesit ke Merindun.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan Jurutera JKR Bahagian Sri Aman, Cassidy morris.

Tamat.

No comments:

Post a Comment