Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 May, 2011

Kurangkan pengambilan gula dalam hidup - Lawson



Caption: RASMI...Lawson sedang memotong reben sebagai simbolik perasmian sambil disaksikan oleh Ricky (kiri) dan tetamu khas yang lain pada majlis itu.


BETONG, Khamis (19 Mei) – Kerajaan akan mengambil pelbagai langkah bagi mempromosi amalan pemakanan secara sihat yang mencakupi usaha pengurangan pengambilan gula terhadap rakyat di negeri ini dari masa ke semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Robert Lawson Chuat berkata langkah yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan itu bertujuan untuk mengelakkan rakyat menghidap pelbagai penyakit akibat pengambilan secara berlebihan.


”Lagipun perbelanjaan juga dapat dijimatkan dengan cara mengurangkan pengunaan gula dalam pemakanan disamping menjamin kesihatan mereka daripada risiko serangan penyakit berbahaya.

“Kerajaan akan menjadikan media massa sebagai platform untuk mendidik rakyat mengenai aktiviti yang dirancang bagi tujuan itu selepas ini,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan juga akan memperhebatkan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula pada tahun ini semenjak ia diperkenal pada tahun lepas.

Lawson berkata demikian ketika berucap selaku mewakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kempen Kurangkan Pengambilan Gula 2011 peringkat Negeri Sarawak di Dewan Panglima Rentap, Betong hari ini.

Selain itu golongan pengendali makanan kata beliau juga disarankan untuk mengurangkan pengunaan gula dalam proses penyediaan makanan terhadap pelanggan di kawasan masing-masing.

“Mereka juga seharusnya menyediakan resipi-resipi yang mempunyai kurang pengunaan gula demi membantu memperhebatkan usaha kerajaan berhubung perkara ini di masa akan datang,” kata beliau.


Terdahulu, kempen yang berlangsung dari 18 hingga 20 Mei anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak itu diserikan dengan Pertandingan Gerai Bersih dan Sihat, Pertandingan Memasak untuk Golongan Ibu, Ceramah Kesihatan, Pertandingan Melukis Poster, Pameran Kesihatan, Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan.


Lawson menerusi majlis itu telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Gerai Sihat, Pertandingan Memasak untuk Golongan Ibu dan Pertandingan Melukis Poster.

Hadir sama ialah ADUN Saribas, Ricky @ Mohammad Razi bin Sitam, Residen Bahagian Betong, Datu Romie Sigan Daniel, Pegawai Daerah Betong, Friday Belik dan Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Jeffery Stephen.

Tamat.

No comments:

Post a Comment