Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 January, 2009

Sungkei - Anggota RELA diingat jangan bertugas untuk tuntut elaun saja

SRI AMAN, Ahad (1 Feb) – Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Sarawak, Brigedier Jeneral (RELA) Mohd Saiful Sungkei Abdullah menasihatkan semua anggotanya agar tidak membataskan kewajipan diri masing-masing dengan hanya melaksanakan segala tugas yang berkaitan dengan tuntutan elaun sahaja.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam RELA Bersama Pemimpin Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru 2009 bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman malam tadi.

“Saya tidak mahu semua anggota RELA melaksanakan tugas masing-masing hanya semata-mata untuk menuntut elaun daripada kerajaan memandangkan tindakan sebegini hanya akan menimbulkan tanggapan negatif di kalangan diri penduduk.

“RELA dilihat seolah-olah menjadi sebuah syarikat sekiranya para anggota kita bertugas hanya untuk menuntut elaun...kita tidak mahu melihat perkara ini berlaku pada masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa terdapat sejumlah 64,000 anggota RELA di negeri ini.

Semua anggota RELA sebaliknya kata Sungkei perlu turun padang untuk melaksanakan khidmat sosial terhadap penduduk yang tinggal di kawasan sekeliling mereka selain dari melaksana kewajipan yang hanya berkaitan dengan tuntutan elaun.

Khidmat sosial ini jelas beliau boleh menambah pengalaman dalam diri anggota RELA itu sendiri yang secara tidak langsung juga boleh mengharumkan nama pertubuhan ini di mata penduduk dalam kawasan sekeliling mereka.

“Selain membantu polis dan tentera untuk menjaga ketenteraman negara, anggota RELA juga harus turun padang bagi membantu para penduduk yang dilanda masalah dan ianya termasuklah bagi mereka yang berhadapan dengan kes bencana alam di kawasan masing-masing selama ini,”katanya.

Saiful dalam ucapannya juga turut menasihatkan semua anggota RELA untuk sentiasa menjaga disiplan dan mematuhi arahan ketua masing-masing ketika melibatkan diri dalam OPS Tegas di negeri ini.

“Ianya amat penting agar pihak RELA dapat menepis segala tohmahan yang dilemparkan oleh penduduk terhadap kita berhubung tindakan membenteras Pendatang Asing Tanpa IZIN (PATI) menerusi OPS Tegas selama ini,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Melay Tingom, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Harden menerusi majlis ini telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada RELA Sri Aman manakala Masir pula mengumunkan peruntukkan bernilai RM3,000.

Tamat.

No comments:

Post a Comment