Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 January, 2009

Persiapan menjelang TBC 2009 di Sri Aman - apa kata penduduk?


Caption: MERIAH...Masyarakat kaum Cina kelihatan sedang membanjiri deretan kedai dalam bandar Sri Aman untuk membeli barang keperluan bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada 26 Januari ini.

SRI AMAN, Sabtu (24 Jan) – Menjelang 26 dan 27 Januari ini seluruh masyarakat Cina akan berkumpul bersama dengan ahli keluarga dan para sahabat handai masing-masing demi memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2009.

Tinjaun Utusan Sarawak di sekitar bandar Sri Aman mendapati bahawa rata-rata masyarakat Cina mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada hari Isnin ini.

Salah seorang pekerja restoran tempatan, Sie Toh Ming, 31, berkata sambutan Tahun Baru Cina kali ini cukup bermakna untuk diri beliau memandangkan ianya adalah peluang untuk bertemu kembali dengan ahli keluarga dan para sahabat handai yang sudah lama bekerja di negeri lain.

“Semasa sambutan Tahun Baru Cina inilah saya akan berpeluang untuk duduk berbual bersama ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama bekerja di negeri orang dan jarang pulang ke rumah.

“Perayaan ini hanya diadakan sekali dalam setahun maka manfaatkanlah peluang untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina 2009 bersama ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Bagi Lim Siew Poh, 50, beliau dan keluarganya tidak berbelanja terlalu banyak wang untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baru Cina bagi tahun ini.

Katanya, masyarakat perlu mengelak pembaziran ketika mengadakan sambutan Tahun Baru Cina memandangkan mereka perlu cekap menguruskan kewangan apabila berakhirnya sambutan perayaan berkenaan.

Salah seorang peniaga, Raymond Sim, 41, dia berharap agar sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini bukan sahaja disambut oleh masyarakat Cina namun sama-sama dimeriahkan oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Saya berpendapat bahawa ada baiknya perayaan Tahun Baru Cina ini disambut bersama-sama oleh semua masyarakat berbilang kaum di negeri ini seperti Melayu dan Dayak demi mengeratkan lagi hubungan perpaduan di antara kaum,” katanya.

Sementara itu tinjauan Utusan Sarawak di sekitar bandar Sri Aman hari ini mendapati bahawa rata-rata pasaraya utama di bandar ini belum lagi dipenuhi oleh para pengunjung kaum Cina.

Utusan Sarawak difahamkan oleh setengah orang ramai bahawa pasaraya di bandar Sri Aman ini hanya akan mula penuh sehari sebelum berlangsungnya perayaan Tahun Baru Cina ini kelak.

Tamat.....









No comments:

Post a Comment