Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 January, 2009

Masir ingatkan anggota RELA agar tidak 'berpaling tadah' dari BN

SRI AMAN, Ahad (1 Februari)– Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berharap agar anggota RELA tidak berpaling tadah daripada pihak Barisan Nasional (BN) dengan menyokong pihak pembangkang ketika berlangsungnya proses Pilihanraya Negeri atau Parlimen dalam tempoh akan datang kelak.

Beliau berkata terdapat segelintir anggota RELA yang bertindak menyokong pihak pembangkang menerusi aktiviti berkempen ketika menjelang pilihanraya dan perkara ini sememangnya amat mengecewakan pihak BN itu sendiri.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang berkhidmat di bawah payung BN, setiap anggota RELA haruslah memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan memenangi pilihanraya di negeri ini.

“Misalannya ketika berlangsungnya proses pilihanraya, setiap anggota RELA boleh menyumbang bakti kepada BN dengan membantu mengawal tindakan penyokong daripada kedua-dua belah pihak (BN dan pembangkang) demi keselamatan pengundi.

“Bagaimanapun jika anda (anggota RELA) bertindak meninggalkan tugas dengan menyokong kempen pihak pembangkang ketika berlangsungnya proses pilihanraya ini maka ianya boleh dianggap tindakan berpaling tadah daripada pihak BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam RELA Bersama Pemimpin Bersempena dengan Sambutan Tahun Baru 2009 bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar Sri Aman malam tadi.

Sementara itu Masir juga menasihatkan semua anggota RELA untuk sentiasa menjaga nama baik pertubuhan ini dengan lebih berdisplin ketika melaksanakan tugasan masing-masing.

Sikap disiplin dalam diri setiap anggota RELA ini katanya sekaligus membolehkan penduduk menyanjung tinggi sumbangan anggotanya dalam membantu menjaga keselamatan serta keamanan penduduk.

“Malahan sikap disiplin yang ditunjukkan oleh setiap anggota RELA ketika melaksanakan tugas itu secara tidak langsung dapat menarik penyertaan lebih penduduk ke dalam pertubuhan terbabit,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis, Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Sarawak, Brigedier Jeneral (RELA) Mohd Saiful Sungkei Abdullah, Abang Shamshuddin Abang Seruji, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Melay Tingom, Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Harden menerusi majlis ini telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada RELA Sri Aman manakala Masir pula mengumunkan peruntukkan bernilai RM3,000.

Tamat.

No comments:

Post a Comment