Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 January, 2009

Bandar Sri Aman dinaiki banjir setinggi satu kaki




Caption:

1.BERANI...Sebuah kenderaan sedang meredah air sedalam satu kaki di sebuah laluan jalan raya ketika berlakunya banjir di bandar ini lewat petang kelmarin.

2.BIASA...Begini keadaan di setengah tempat dalam kawasan bandar Sri Aman ketika berlakunya banjir kelmarin.

SRI AMAN, Isnin (12 Jan) – Beberapa batang jalan di sekitar bandar Sri Aman telah ditenggelami banjir di antara setengah hingga satu kaki apabila berlakunya hujan dan air pasang di Sungai Batang Lupar Sri Aman berlaku serentak bermula lewat petang kelmarin.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa kejadian banjir di bandar Sri Aman telah bermula sekitar jam 6.30 petang semalam dan menyebabkan beberapa batang jalan utama dinaiki air sehingga mencecah paras satu kaki termasuk Jalan Counsil dan Jalan Kelab.

Kejadian banjir ini secara tidak langsung juga telah menyebabkan kawasan sekitar Pasar Tamu Sri Aman, Pasaraya Everise, Panggung, premis bangunan Telekom Malaysia cawangan Sri Aman dan Pasar Open Air dinaiki air sehingga mencecah paras setengah kaki.

Keadaan ini menyebabkan beberapa penunggang motorsikal menghadapi masalah untuk melalui laluan jalan terbabit sehingga terdapat beberapa orang diantara mereka yang terpaksa menyorong motorsikal gara-gara enjin terpadam kerana dimasuki air.

“Saya amat bimbang sekiranya kombinasi hujan lebat dan air pasang di Sungai Batang Lupar ini boleh menyebabkan berlaku banjir kilat di bandar ini,” kata seorang peniaga yang mendakwa bahawa hujan renyai pada petang kelmarin tidak menyumbang kepada kejadian banjir yang serius di bandar ini.

Peniaga terbabit turut menambah bahawa pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah segera untuk mengubahsuai sistem peparitan di sekitar bandar Sri Aman ini demi mengurangkan risiko kejadian banjir.

Beliau mendakwa bahawa kejadian banjir di bandar ini juga boleh berlaku sekiranya terjadi fenomena air pasang di Sungai Batang Lupar walaupun hujan tidak turun pada masa berkenaan.

Utusan Sarawak mendapati bahawa banjir di bandar Sri Aman mula surut menjelang jam 7.45 petang kelmarin sehingga membolehkan laluan trafik di Jalan Counsil dan Jalan Kelab kembali pulih seperti sediakala.

Tamat.







No comments:

Post a Comment