Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 January, 2009

Nyalau - Ibubapa perlu beri motivasi kepada anak-anak


Caption: TAHNIAH...Nyalau (dua dari kiri) sedang menyampaikan hadiah kepada Pengurus Rumah Garai iaitu Abiyah Rasidah yang muncul juara keseluruhannya dalam kejohanan terbabit sambil disaksikan oleh Leslie (kiri sekali) baru-baru ini.

LUBOK ANTU, Jumaat (30 Jan) - Ibubapa perlu memainkan peranan serta tanggungjawab yang cukup besar khasnya dalam memberikan perangsang dan motivasi kepada anak-anak demi kebaikan masa depan pendidikan mereka, demikian kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Katanya, tanggungjawab ibubapa dalam memberikan perangsang dan motivasi adalah amat penting kerana tanpa perangsang tersebut golongan anak-anak tidak akan begitu mengambil berat untuk mempertingkatkan tahap kecemerlangan akademik masing-masing.

“Dalam perkara ini para ibubapa harus sedar bahawa mereka perlulah melaksanakan peranan berkenaan untuk mempertingkatkan taraf akademik anak-anak dan bukannya sekadar mengharapkan peranan pihak warga pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga Antara Rumah-Rumah Sukan Ke-34 Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu 2009 di Komplek Sukan Lubok Antu baru-baru ini.

Sementara itu kata Nyalau, penguasaan anak-anak dalam bidang akademik adalah amat penting memandangkan mereka adalah aset serta individu professional untuk meneruskan kesinambungan proses pembangunan negeri.

Jelas beliau, golongan anak-anak juga bakal menjadi harapan untuk mengantikan para pemimpin negara bagi meneruskan usaha pembangunan dari segi politik, ekonomi dan sosial di masa yang akan datang.

"Jikalau kita dapat melahirkan lebih ramai golongan pelajar yang cukup cemerlang dalam bidang akademik nescaya mereka ini nanti bakal menjadi pemimpin negara kita ini di masa yang akan datang,” katanya.

Nyalau menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan bernilai RM10,000 kepada SMK Lubok Antu bagi menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh sekolah itu.

Justeru, beliau berharap agar pihak ibubapa sedar akan peranan mereka sebagai seorang ‘guru’ ketika meluangkan masa bersama anak mereka di rumah dan tidak menyandarkan tugas mempertingkat tahap kecemerlangan anak-anak di bahu pihak sekolah di masa yang akan datang.

Hadir sama ialah Pengetua SMK Lubok Antu Encik Leslie Tawan anak Gandil dan para ketua kaum dari sekitar daerah kecil Lubok Antu.

Tamat.....




No comments:

Post a Comment