Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 August, 2010

18 stesen pertanian yang ditutup akan dibuka semula - Jabu


Caption: MINAT...Jabu (tengah) bersama Uggah (kiri) ketika sedang meninjau tapak pameran yang berlangsung pada Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak hari ini.


BETONG, Sabtu (31 Julai) – Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Permodenan Pertanian akan membuka semula 18 buah stesen pertanian luar bandar di seluruh negeri Sarawak yang telah ditutup operasinya sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata pembukaan semula kesemua 18 buah stesen pertanian luar bandar berkenaan akan berkuatkuasa mulai pada tahun hadapan.

Antara stesen pertanian yang akan dibuka semula oleh kerajaan bagi tujuan katanya ialah Stesen Pertanian Tarat (Serian), Stesen Pertanian Layar (Betong), Stesen Pertanian Sebiew (Bintulu) dan Stesen Pertanian Punang (Lawas).

“Tindakan membuka semua stesen ini adalah amat penting agar industri pertanian kita di Sarawak dapat digerak semula demi mempertingkatkan lagi kualiti hidup penduduk di kawasan luar bandar dalam negeri ini.

“Untuk itu kerajaan akan menempatkan semula kakitangan jabatan pertanian di kesemua 18 buah stesen berkenaan disamping menambahbaik segala kemudahan penting di stesen tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Selain itu industri berasaskan tani dan hasil perikanan laut dalam di negeri ini juga kata Jabu masih mempunyai potensi yang amat cerah dalam pasaran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ikan Empurau misalnya kata beliau mampu dijual pada harga RM780 sekilogram di Kuala Lumpur, Semenanjung Malaysia manakala RM800 sekilogram pula sekiranya ia dieksport ke negara China.

“Produk Ikan Buntal di Betong dan sotong di Beladin juga mempunyai potensi yang tinggi dalam pasaran antarabangsa. Justeru saya berharap agar para penternak, petani dan nelayan bergiat lebih aktif dalam masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Senator dato Sri Empiang Jabu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah anak Embas, para menteri muda di kabinet Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Terdahulu Jabu telah menyampaikan hadiah kepada 16 orang penerima ketika berlangsungnya Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak.

Antara penerima terbabit ialah PPK Subis (Pertubuhan Peladang Jaya), Haji Ahmad Maling (Peladang Jaya Lelaki), Dayang Salhah Awang Weldan (Peladang Jaya Wanita), Lee Kin Fah (Pengusaha Jaya Ternakan Ikan Sangkar), Tan Swee Fah (Pengusaha Jaya Ternakan Ikan Sangkar), Dr Ng Siew Thiam (Pengusaha Jaya Ternakan Ruminan).

Jabu bersama rombongan juga turut mengadakan kunjungan ke tapak pameran Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang disertai oleh 15 buah agensi kerajaan dan 124 buah gerai berdaftar.

Tamat.

No comments:

Post a Comment