Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 January, 2009

Rayong - Perkukuhkan perpaduan demi kestabilan politik


Caption:RASMI...Nyalau (empat dari kiri), Rayong (empat dari kanan) dan Lai Ngee Ta (tengah) bersama dengan ahli Persatuan Hakka Engkilili sedang menyempurnakan upacara memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (30 Jan) - Masyarakat berbilang kaum terutamanya Melayu, Cina dan Dayak perlu mengenepikan sikap diskriminasi kaum di antara satu sama lain demi menjaga tahap kestabilan politik dalam negeri ini demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa.

Masyarakat tempatan katanya perlu sedar bahawa kewujudan sikap diskriminasi kaum dikalangan diri mereka hanya akan menjejaskan tahap perpaduan yang menjadi pemangkin utama kepada penggerak kestabilan politik dalam negeri ini.

"Tahap kestabilan politik memainkan peranan yang amat penting dalam menjana pelbagai pelan pembangunan di seluruh negeri ini termasuk pembinaan kemudahan jalan raya, perhubungan, perkhidmatan, pembekalan air dan elektrik serta perlaksanaan projek ekonomi seperti pembukaan kilang perindustrian amnya.

"Bagaimanapun kestabilan politik dalam negeri ini hanya dapat diwujudkan sekiranya kesemua masyarakat berbilang kaum terutamanya Melayu, Cina dan Dayak mengenepikan sikap diskriminasi kaum dalam diri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena dengan sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2009 anjuran Persatuan Hakka Engkilili di Dewan Serbaguna Engkilili, Sri Aman malam tadi.

Sementara itu Rayong turut menyeru masyarakat berbilang kaum dalam daerah ini untuk terus berusaha bagi mengukuhkan tahap perpaduan demi memudahkan perlaksanaan pelbagai projek pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri masa kini.

Katanya masyarakat berbilang kaum di negeri ini dapat mengukuhkan hubungan perpaduan mereka dengan menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan perayaan bersama-sama.

Tambah beliau, penganjuran aktiviti kebudayaan dan perayaan seperti Sambutan Maal Hijrah, Hari Raya, Krismas dan Tahun Baru Cina secara kerjasama oleh semua kaum di negeri ini mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahhim sekaligus dapat mengelakkan wujudnya jurang perkauman antara masyarakat.

Justeru, Rayong berharap agar masyarakat berbilang kaum dalam negeri sentiasa mengekal serta menjalinkan hubungan perpaduan dikalangan mereka demi kebaikan proses pembangunan masyarakat dan tahap ekonomi negeri yang kian berkembang maju di masa yang akan datang.

Dalam majlis itu Rayong telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada persatuan terbabit untuk memudahkan mereka menjalankan aktiviti yang telah dirancang sebelum ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, Pengerusi Persatuan Hakka Engkilili, Lai Ngee Ta, Pengerusi Pengelola Majlis, Jee Kian Fui dan ahli persatuan terbabit.

Tamat.


-













No comments:

Post a Comment