Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 January, 2009

Ellison - musim banjir sebabkan bisnes restoran alami kerugian

Mugshot: ELLISON ANAK LINGOH

SRI AMAN, Jumaat (16 Jan) – Seorang pemilik restoran makanan laut yang terletak di kawasan Jalan Hospital dalam bandar Sri Aman mendakwa bahawa kejadian hujan lebat tanpa henti yang melanda seluruh Sarawak semenjak hari Sabtu lalu telah memberi kesan terhadap perniagaannya.

Ellison anak Lingoh, 47, ketika ditemui berkata cuaca buruk yang melanda bandar ini sehingga menyebabkan berlakunya banjir di beberapa buah kawasan menyebabkan kadar keuntungan operasi restorannya merosot berbanding hari biasa.

“Hujan lebat yang berlaku sepanjang masa di bandar ini sebelum ianya berakhir pada hari Rabu lepas menyebabkan tidak ramai pelanggan yang datang ke restoran makanan laut saya ini.

“Boleh dikatakan dalam sehari tidak lebih daripada 20 pelanggan yang datang ke restoran ini berbanding pada hari biasa apabila jumlah kedatangan pelanggan melebihi kadar 100 orang sehari untuk hari biasa,” katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan jumlah kerugian akibat cuaca buruk yang melanda negeri ini semenjak minggu lepas juga yakin bahawa cuaca buruk ini juga turut memberi kesan terhadap permis perniagaan yang lain dalam bandar ini.

“Ini merupakan pengalaman yang berharga buat diri saya dan keluarga. Sekurang-kurangnya saya akan melakukan persiapan lebih awal untuk menghadapi kejadian banjir seperti ini di masa akan datang,” katanya.

Cuaca buruk yang melanda negeri ini khususnya di bandar Sri Aman semenjak minggu lepas telah menyebabkan berlakunya banjir sehingga mencecah paras kedalaman satu kaki di beberapa kawasan dalam bandar ini.

Malahan beberapa buah premis perniagaan turut dinaiki air berikutan berlakunya fenomena air pasang di Sungai Batang Lupar bermula hari Isnin sehingga hari Selasa lalu.

Ellison Seafood Restaurant, premis makanan laut milik Ellison di kawasan Jalan Hospital juga dinaiki air sehingga mencapai paras kedalaman setengah kaki. Kejadian ini menyebabkan kawasan operasi perniagaannya menjadi terhad.

Tamat.



No comments:

Post a Comment