Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 January, 2009

DID laksana eksperimen sistem baru cegah banjir


Caption: TURUN PADANG...Shamshuddin (kelima dari kanan) bersama rombongan ketika sedang meninjau rumah milik Kadri Bujang (tengah) di Kampung Hulu yang turut dinaiki air bah malam tadi. Turut kelihatan ialah Zaidi (keempat dari kanan) dan Yusli (kedua dari kanan).


SRI AMAN, Rabu (14 Jan) – Kesan kejadian banjir yang berlaku di sekitar bandar Sri Aman pada malam tadi telah berjaya dikurangkan menerusi sebuah eksperimen percubaan yang telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Saliran dan Peparitan (DID) Bahagian Sri Aman kata Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji.

Pihak DID Sri Aman katanya telah melaksana sebuah eksperimen dengan menggunakan mesin khas untuk mengepam keluar air bah yang melimpah dari Sungai Batang Lupar Sri Aman apabila Benak mencapai paras gelombang ombak yang tertinggi bermula jam 7.25 petang kelmarin.

“Jika mengikut Kalender Lunar milik kaum Cina, malam ini (13 Januari) telah diramal akan berlakunya fenomena Benak yang mencapai paras gelombang tertingginya berbanding dengan hari biasa yang lain.

“Maka itu pihak DID Sri Aman telah memutuskan untuk mencuba sistem terbaru mereka untuk mengurangkan kesan banjir di bandar ini pada masa terbabit dengan menguji mesin pengepam keluar air di sekitar tebingan Sungai Batang Lupar tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita malam tadi.

Menerusi eksperimen ini kata Shamshuddin, pihak DID Sri Aman telah berjaya mengelakkan berlakunya banjir di beberapa buah lokasi dalam bandar ini terutamanya di kawasan Pasaraya Everise.

Kejadian fenomena Benak di Sungai Batang Lupar malam tadi ini bagaimanapun menurut beliau telah memberikan impak terhadap kawasan Kampung Hilir, Kampung Hulu dan Kampung Tengah apabila kawasan terbabit dilanda banjir yang mencapai paras ketinggian di antara satu hingga dua kaki.

“Malang bagi kita apabila banjir berlaku di kawasan perkampungan terbabit berbanding dalam kawasan bandar Sri Aman disebabkan oleh faktor peparitan yang terdapat di kawasan tersebut.

“Namun sekarang kita sudah pun tahu cara untuk mengatasi masalah ini menerusi eksperimen yang telah dilakukan tadi,” kata sambil menambah bahawa pihaknya mungkin akan melaksanakan kerja pengubahsuaian sistem peparitan di kawasan ini secara berperingkat-peringkat mulai masa hadapan.

Terdahulu beliau yang diiringi oleh Pegawai Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohd Yusli bin Nassir dan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Zaidi Sarkawi telah turun padang untuk menyaksikan sendiri kejadian banjir yang berlaku di bandar ini, Kampung Tengah dan Kampung Hulu malam tadi

Eksperimen yang dilaksanakan oleh pihak DID Bahagian Sri Aman pada malam tadi telah berjaya mengurangkan kadar banjir di bandar Sri Aman yang mencatatkan paras kenaikan kurang dari setengah kaki hanya di kawasan lampu isyarat malam tadi.

Tamat.



No comments:

Post a Comment