Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 January, 2009

Crispin - Batu Nabau boleh jadi tarikan pelancong


Caption:UNTUK ALBUM...Naim (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Kanselor Gerang (kanan) dan Kanselor Crispin (kiri) ketika melakukan pemantauan lanjut terhadap batu berkenaan baru-baru ini. Foto:MOHAMAD HAIZAZI

SRI AMAN, Khamis (8 Jan) – Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) menerusi empat orang wakilnya telah mengadakan pemantauan ke lokasi Batu Nabau yang terletak tidak jauh dari Rumah Nyalau anak Muang, Bangkong, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Empat orang wakil MDLA yang mengadakan pemantauan ke tapak penemuan Batu Nabau terbabit adalah Timbalan Pengerusi MDLA, Kanselor Gerang Jubin, Juruteknik Kanan MDLA, Abang Naim bin Abang Pauzi, Juruteknik Awam MDLA, Mohamad Haizazi bin Mahdili dan Ahli Majlis MDLA Kanselor Crispin Limin.

Naim ketika ditemui Utusan Sarawak menjelaskan bahawa lawatan terbabit adalah merupakan salah satu tindakan lanjut daripada pihak MDLA sebaik sahaja perkara mengenai Batu Nabau ini dibincangkan dalam satu mesyuarat yang berlangsung sebelumnya.

“Menerusi sebuah mesyuarat yang berlangsung di MDLA sebelum ini, Kanselor Crispin telah mengusulkan satu cadangan untuk membangunkan kawasan Batu Nabau sebagai sebuah kawasan tarikan pelancong di daerah ini.

“Justeru atas cadangan ini, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah anak Girie telah menasihatkan beliau untuk membuat kajian terperinci mengenai kisah kewujudan Batu Nabau ini supaya ianya boleh dibukukan bagi tujuan bacaan umum,” katanya.

Bagaimanapun pihaknya kata Naim masih lagi belum memulakan usaha untuk mengumpul segala data yang berkaitan dengan kisah asal usul kewujudan Batu Nabau terbabit bagi tujuan pembukuan.

Sebagai langkah pertama menurut beliau, pihaknya haruslah turun padang terlebih dahulu untuk mengenali selok belok lokasi Batu Nabau dengan lebih dekat dan memahami kisah kewujudannya selama ini.

“Harapan pihak kami ialah agar lokasi Batu Nabau ini dapat dijadikan sebagai salah satu kawasan tarikan pelancong yang terkemuka dalam kawasan daerah kecil Engkilili pada masa akan datang,” katanya.

Berita mengenai kewujudan Batu Nabau iaitu sebongkah batu yang menyerupai seekor ular gergasi di Bukong, Engkilili sebelum ini pernah tersiar dalam akhbar ini pada 19 Disember tahun lalu.

Kisah mengenai kewujudannya mula mendapat perhatian pihak media apabila seorang lelaki berketurunan Siam dari Kuala Lumpur mendakwa mengalami mimpi mengenai kewujudan batu berkenaan sebelum berjaya menjejaki lokasi tersebut di Engkilili sekitar bulan Ogos tahun lalu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment