Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 January, 2009

Baitulmal dan Jabatan Perpaduan sumbang bantuan kepada keluarga mangsa banjir di Pantu


Caption: PRIHATIN...Shamsul (kanan) sedang menyampaikan bantuan kepada wakil mangsa (kiri) sambil disaksikan oleh Mordhiah (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis semalam.

SRI AMAN, Selasa (13 Jan) – Kesusahan yang ditanggung oleh 41 buah keluarga mangsa banjir dari kawasan pangkalan Pantu, Sri Aman ternyata mendapat perhatian pelbagai pihak apabila Tabung Baitulmal Sarawak cawangan Sri Aman dan Jabatan Perpaduan Negara tampil menghulurkan bantuan kepada mereka kelmarin.

Pada majlis yang berlangsung di pusat pemindahan sementara SJK Chung Hua, Pantu semalam, pihak Tabung Baitulmal Sarawak cawangan Sri Aman telah menyampaikan bantuan berupa 13 kotak air botol minuman 500 mililiter dan tujuh buah kotak makanan asasi kepada semua 179 mangsa dari 41 buah keluarga mangsa banjir terbabit.

Manakala itu pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pula telah menyampaikan bantuan berupa dua set periuk nasi elektrik dan dua buah tong gas bagi membolehkan keluarga mangsa memasak makanan masing-masing.

Ketua Cawangan, Tabung Baitulmal cawangan Sri Aman, Shamsul Bahri bin Manap ketika ditemui berkata bantuan ini bertujuan untuk membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa yang berhubung kejadian banjir yang berlaku di kawasan pangkalan Pantu semalam.

“Tabung Baitulmal sentiasa tampil untuk membantu penduduk yang dilanda kesusahan dan kali ini pihak kami telah menghulurkan bantuan berupa makanan hak asasi kepada semua 41 buah keluarga mangsa.

“Dengan adanya bantuan makanan ini, pihak kami berharap agar keluarga mangsa kejadian banjir ini dapat menjalankan urusan kehidupan seharian masing-masing tanpa sebarang masalah,” katanya.

Hadir sama ketika majlis penyampaian ialah Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Mordhiah Haji Sulaiman dan Pengerusi Urusetia Saudara Kita cawangan Pantu, Shahdan bin Abdullah.

Terdahulu seramai 179 penduduk dari 41 buah keluarga yang menetap di pangkalan Pantu sebelum ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara SJK Chung Hua, Pantu setelah kawasan penempatan mereka ditenggelami air setinggi tiga kaki akibat limpahan air sungai yang berdekatan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment