Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 December, 2010

Taib - 93 peratus projek pembangunan di Sri Aman under RMK9 sudah siap


Pix by Ramidi Subari,
New Sarawak Tribune

SRI AMAN, Khamis (16 Dis) – Hampir 93 peratus projek pembangunan yang dilaksana di Bahagian Sri Aman menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) telah dilaporkan siap demikian menurut Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud.

Katanya Bahagian Sri Aman telah menerima peruntukan sejumlah RM307 juta bagi tujuan pembangunan menerusi perlaksanaan RMK9 bermula dari tahun 2006 hingga 2010.

“Antara projek pembangunan yang dilaksanakan menerusi peruntukan ini ialah Taman Panorama Benak, Taman Riverine Batang Lupar, Kompleks Pasukan Gerakan Am PDRM di Temudok, Balai Bomba Moden, Kuaters PDRM di Lubok Antu, Pusat Imigresen dan Kastam (Lubok Antu) serta banyak lagi.

“Sebahagian lagi projek pembangunan di Bahagian Sri Aman akan dilaporkan siap sepenuhnya menjelang tahun 2011. Dengan kata lain penduduk di sini telah menyaksikan pelbagai projek pembangunan berimpak besar dalam Rancangan Malaysia sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang ketika merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak 2010 (Bahagian Sri Aman) di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Kerajaan Negeri kata Taib juga telah membuat beberapa kajian dan perancangan untuk memastikan Bahagian Sri Aman dan Betong tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Kajian ‘Sri Aman – Betong Regional Study’ mencakupi rancangan pembangunan dari tahun 2011 hingga 2030 telah dikendalikan oleh Unit Perancang Negeri dengan kos bernilai RM1.5 juta.

“Cadangan-cadangan yang telah dimuatkan dalam kajian tersebut akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri untuk dimajukan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) Malaysia selepas ini,” katanya.

Tambah beliau semua cadangan ini dihantar ke EPU supaya projek pembangunan jangka pendek dapat dilaksanakan menerusi Pelan Perancangan dan Berperingkat Setiap 2 Tahun bagi Peringkat Pertama dan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-10 kelak.

Hadir sama ialah Penasihat Khas Kepada Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Adenan Haji Satem, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Gani, Menteri Muda Pertanian, Mong Dagang, para wakil rakyat Barisan Nasional (BN), pegawai tinggi kerajaan dan ketua kaum disini.

Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat Negeri Sarawak 2010 (Bahagian Sri Aman) anjuran Angkatan Zaman Mansang atau AZAM ini melibatkan seramai 498 ketua kaum dari kawasan Bahagian Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment