Caption: SERIUS...Saini ketika berucap pada Program 1Malaysia ‘Komuniti Bestari Pengerak Pembangunan Minda’ di Rumah Able anak Bakar, Stumbin, Lingga, baru-baru ini.
LINGGA, Selasa (14 Dis) – Rakyat perlu merapatkan diri terhadap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing selepas ini demikian menurut Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Saini Bojeng.
Katanya dengan berbuat demikian wakil rakyat BN akan dapat mengetahui masalah serius yang melanda kebajikan hidup rakyat yang berada di bawah pentadbiran kuasa mereka dari masa ke semasa.
“Wakil rakyat BN sebenarnya tidak harus dipersalahkan oleh rakyat di kawasan masing-masing sekiranya dianggap gagal mengetahui masalah mendalam yang melanda hidup mereka.
“Mereka (wakil rakyat BN) sentiasa bekerja untuk rakyat. Namun jika rakyat tidak meluahkan masalah hidup masing-masing maka perkara ini akan sukar diselesaikan,” katanya ketika berucap pada Program 1Malaysia ‘Komuniti Bestari Pengerak Pembangunan Minda’ di Rumah Able anak Bakar, Stumbin, Lingga, baru-baru ini.
Selain itu rakyat kata Saini juga harus sedar bahawa memikul tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat adalah merupakan bukan perkara mudah untuk semua individu seperti yang dianggap oleh mana-mana pihak sebelumnya.
“Anda belum tentu boleh menjadi ketua keluarga yang sempurna jika mempunyai tujuh orang anak di rumah. Apatah lagi jika seorang wakil rakyat terpaksa menjaga hal-ehwal hidup beribu-ribu rakyat yang berada di bawah jagaan mereka.
“Justeru saya berharap agar rakyat sentiasa memberi peluang kepada wakil rakyat mereka untuk terus memimpin mereka dari masa ke semasa,” katanya.
Majlis ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri. Hadir sama ialah Pengerusi Komuniti Bestari Kampung Pangkat Stumbin, Haji Shamshuddin Haji Seliman, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment