Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 December, 2010

Masir seru setiap taman untuk tubuh rukun tetangga


Caption: RASMI...Masir memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Jusoh, Sofian, Zulhairil dan Rahman.

SRI AMAN, Isnin (20 Dis) – Setiap taman perumahan perlu lebih serius menubuhkan pasukan rukun tetangga (neighborhood watch) bagi mengawal berlakunya sebarang aktiviti jenayah di kawasan jagaan masing-masing selepas ini.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah anjuran Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bertempat di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.

Katanya rukun tetangga berperanan penting dalam membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah di kawasan penempatan mereka dan sekaligus mewujudkan keamanan di kawasan berkenaan dari masa ke semasa.

“Bagaimanapun paling penting di sini ialah penduduk sentiasa menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat terhadap pihak polis bagi membenteras kegiatan jenayah di kawasan mereka selepas ini,” menurut beliau.

Selain itu beliau juga menasihatkan penduduk untuk lebih berhati-hati terhadap kehadiran mana-mana pihak yang tidak dikenali ke rumah mereka bagi mengelakkan berlaku kes jenayah selepas ini.

Sebagai contoh kata Masir satu kes penipuan yang membabitkan wang simpanan milik sebuah keluarga di kawasan Balai Ringin, Serian telah dilaporkan berlaku baru-baru ini disebabkan oleh kumpulan penjenayah yang menganggap diri mereka sebagai jurujual.

“Kumpulan penjenayah ini dilaporkan telah menipu mangsa berhubung satu peraduan. Mangsa pada mula ditipu sebanyak RM5,000 sebelum ditipu lagi untuk RM5,000 yang seterusnya.

“Saya tidak pasti sama ada keluarga berkenaan telah dipukau oleh kumpulan terbabit. Justeru saya berharap agar penduduk dalam kawasan Parlimen Sri Aman untuk lebih berhati-hati menerima kehadiran kumpulan yang tidak dikenali ke rumah mereka selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Jabatan Pengurusan, Ibupejabat Kontinjen Polis Sarawak, SAC Dato Ahmad Sofian Md Yassin, Residen Bahagian Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, Mat Jusoh Muhammad, Majistret Sri Aman, Zulhairil Sulaiman, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Masir pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 bagi tahun 2011 kepada Kelab Polis Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment