Caption: TINGGAL KENANGAN...Abang Naim berdiri di atas kenderaan suar yang pernah digunakan oleh pelajar SMK Gunung Ngili, Simunjan pada era lewat tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an dahulu.
SIMUNJAN, Selasa (30 N0v)- Bagi yang pernah bersekolah di SMK Gunung Ngili (sekarang dikenali sebagai SMK Sri Sadong) pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an, menaiki ‘kereta suar’ untuk pergi ke sekolah sejauh lima kilometer adalah satu pengalaman manis dan unik untuk dikenang oleh bekas pelajar sekolah itu.
Ini kerana suar merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakan oleh para pelajar pada sekitar era tahun berkenaan untuk menuntut ilmu di SMK Sri Sadong (SMK Gunung Ngili) pada setiap hari.
Bekas pelajar sekolah berkenaan, Abang Naim Abang Pauzi ketika ditemi memberitahu ‘kereta suar’ ini digunakan sebagai alat utama untuk mengangkut barangan keperluan dan juga penumpang dari kawasan Gunung Ngili ke Pekan Simunjan pada era tahun berkenaan ketika jalan raya masih belum wujud pada waktu itu.
“Kereta suar sebenarnya adalah pelantar kecil berukuran 4’ x 8’ yang dibina daripada papan dan letak atas sepasang roda keretapi lalu digerakkan di landasan keretapi dengan ditolak atau ‘disuar’ menggunakan sebatang kayu sepanjang tiga meter oleh pemandu.
“Kenderaan ini dapat memuatkan sejumlah empat hingga lima orang penumpang dalam satu masa. Namun itu semua hanyalah tinggal kenangan semenjak selepas kerajaan membina jalan raya menuju ke sekolah terbabit selepas itu,” menurut beliau.
Walaupun kesan peninggalannya masih terdapat di Kampung Sual, Simunjan namun kereta suar ini menurut seorang penduduk iaitu Juslin Majang Bada, 45, masih lagi digunakan oleh sebilangan penduduk untuk mengangkut padi dari sawah ke rumah panjang masing-masing.
“Adalah dipercayai bahawa Pekan Simunjan ketika zaman pemerintahan Jepun adalah merupakan tempat pelombongan arang batu dan rel terbabit dibina bagi mengangkut bahan komoditi berkenaan ke pengkalan mereka di pekan terbabit untuk tujuan eksport.
“Bekas kepala keretapi (boiler) yang pernah digunakan bagi menjana wap untuk menggerakkan keretapi berkenaan masih dapat dilihat di kawasan Gunung Ngili, Simunjan sehingga masa sekarang,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment