LUBOK ANTU, Sabtu (11 Dis) – Penduduk di kawasan luar bandar perlu bijak memilih barisan pemimpin sama ada daripada pihak Barisan Nasional (BN) atau pembangkang pada pilihan raya kelak.
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata pilihan penduduk terhadap bakal pemimpin politik pada pilihan raya ini bakal menentukan hala tuju pembangunan di kawasan masing-masing selepas itu.
“Penduduk di kawasan luar bandar perlu sedar bahawa kerajaan yang diteraju oleh BN sememangnya sentiasa bertanggungjawab dalam membangunkan hidup mereka dari masa ke semasa.
“Memilih pembangkang akan menyebabkan proses hala tuju pembangunan mereka terbantut. Justeru saya meminta penduduk luar bandar untuk berfikir bijak sekiranya mahu lebih maju dalam hidup selepas ini,” katanya berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Sunok, Telinting, Lubok Antu petang kelmarin.
Selain itu sokongan berterusan oleh penduduk terhadap BN kata Nyalau adalah amat penting demi melancarkan lagi proses pembangunan kawasan penempatan masing-masing dari masa ke semasa.
Sokongan berterusan ini katanya boleh dikekalkan sekiranya ketua kaum termasuk Penghulu, Kanselor dan Tuai Rumah terus memainkan peranan dalam menyebar dasar pembangunan kerajaan di kawasan masing-masing.
“Saya yakin taraf pembangunan hidup penduduk akan dapat dipertingkat sekiranya ketua kaum terus memainkan peranan masing-masing dari masa ke semasa. Dengan kata lain hasrat BN untuk memajukan penduduk turut bergantung kepada usaha mereka selepas ini,” katanya.
Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Lubok Antu, James Roselly anak Robert Resa, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Penerangan Daerah Lubok Antu, Dennis Tandat dan kakitangan kerajaan Lubok Antu.
Tamat....
No comments:
Post a Comment