Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 May, 2011

Wanita pemangkin pembangunan kawasan Kalaka




Caption: TERIMA KASIH...Khatijah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Wahab (kanan) sambil disaksikan oleh ahli PPWS yang lain pada majlis itu.

Mas Mashore Haji Maslem & Abang Naim Abang Pauzi

KABONG, Rabu (18 Mei) – Golongan wanita memainkan peranan penting dalam memajukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka selepas ini demikian menurut Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Haji Abdul Wahab Aziz.

Menurut beliau pembabitan golongan wanita bagi tujuan pembangunan kawasan DUN Kalaka boleh dilakukan menerusi sumbangan mereka dalam aktiviti ekonomi, sosial dan politik untuk sepanjang masa.

“Kerajaan amat memerlukan gandingan kaum lelaki dan wanita bagi sama-sama membantu kerajaan untuk memajukan kawasan ini dari ketiga-tiga aspek terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Kebudayaan Dan Sukaneka sempena Sambutan Hari Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Ke-49 di Kampung Gerigat, Kabong, baru-baru ini.

Selain itu Wahab juga yakin kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN Kalaka menunjukkan bahawa rakyat di kawasan itu masih dahagakan pembangunan daripada kerajaan.

Disebabkan oleh faktor ini beliau menerusi ucapannya berjanji akan berusaha lebih gigih untuk merangka dan merancang pelbagai program yang dapat memacu tahap pembangunan kawasannya di masa akan datang.

Terdahulu program sambutan anjuran PPWS cawangan Kampung Gerigat Kabong yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junit itu diserikan lagi dengan Pertandingan Ratu Ibu, Pertandingan Bertandak, Pertandingan Pakaian Beranekaragam Kanak-Kanak dan Sukaneka.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sarawak, Kabong, Nazari Haji Bujang, Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khatijah Abdullah, Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah Saibi, Guru Besar SK Haji Junit, Annuar Ismail, KK Abang Sharif Abang Fadhil, Timbalan Pengerusi PPWS Daerah Saratok, Suriaty Adenan dan para penduduk tempatan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment